PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) perlu lebih berani menyampaikan mesej kesihatan yang menekankan penolakan terhadap budaya songsang homoseksual, berbanding memperkenalkan penggunaan ubat PrEP (Pre-Exposure Prophylaxis) bagi mencegah penularan HIV dalam kalangan pasangan berisiko tinggi.
Pakar Fisiologi, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Dr. Rafidah Hanim Mokhtar berkata, pendidikan mengenai bahaya HIV perlu disampaikan secara jujur, ikhlas dan telus tanpa berselindung semata-mata untuk menjaga sensitiviti pihak tertentu.
Beliau berkata, antara mesej yang perlu disampaikan secara terbuka adalah hakikat sehingga kini belum wujud sebarang ubat yang mampu membunuh virus HIV sepenuhnya, sebaliknya rawatan sedia ada hanya berfungsi mengawal dan menghalang pembiakan virus tersebut.
“Hampir dua pertiga kes baharu HIV di negara ini berpunca daripada hubungan seks anal (hubungan kelamin melalui dubur). Perbuatan liwat yang melibatkan pasangan homoseksual atau biseksual adalah 18 kali ganda lebih berisiko menyebarkan virus HIV.
“Sebarang intervensi kesihatan hanya akan berkesan jika punca risiko ditangani. Sebagai contoh, punca utama penyakit jantung ialah merokok, maka kempen yang digerakkan ialah ‘Jangan Merokok’.
“Oleh itu, dalam kempen kesihatan HIV, mesej utama yang perlu diketengahkan adalah menjauhi hubungan homoseksual dan kerajaan tidak perlu takut dilabel sebagai diskriminasi hanya kerana menyampaikan kebenaran,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Baru-baru ini, akhbar ini melaporkan program penggunaan ubat PrEP yang diperkenalkan kerajaan bagi mencegah penularan HIV dalam kalangan pasangan berisiko tinggi, khususnya homoseksual, dipersoalkan keberkesanannya apabila Malaysia terus merekodkan peningkatan kes baharu jangkitan HIV.
PrEP yang mula dilaksanakan pada Januari 2023 merupakan sebahagian daripada strategi pencegahan HIV di bawah Bahagian Kawalan Penyakit KKM dengan kos pelaksanaan mencecah RM1.07 juta sehingga Jun lalu.
Dr. Rafidah Hanim berkata, pemberian PrEP seharusnya dibuat secara bersasar dan diutamakan kepada golongan yang benar-benar memerlukan seperti isteri kepada suami yang disahkan positif HIV atau sebaliknya.
“Menawarkan PrEP kepada individu yang mengamalkan seks anal dan berhasrat meneruskan gaya hidup songsang sebenarnya bertentangan dengan prinsip kesihatan yang menekankan pencegahan. Ia juga boleh menimbulkan persepsi seolah-olah amalan homoseksual digalakkan.
“Sebagai contoh, aplikasi janji temu gay meletakkan PrEP dalam profil diri sebagai ‘jaminan’ keselamatan pasangan. Sedangkan pengambilan PrEP tertakluk kepada syarat yang ketat dan tidak menghairankan golongan muda sukar untuk mematuhinya,” katanya. – UTUSAN










