Otafuku Sauce raih pensijilan halal

Otafuku Sauce raih pensijilan halal, perkukuh strategi pengembangan di Malaysia

KILANG baharu Otafuku Sauce di Bandar Seri Sendayan, Negeri Sembilan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Otafuku Sauce, jenama sos terkenal dari Jepun memperkukuh kehadirannya di Asia Tenggara dengan pemerolehan pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sejajar dengan minat yang semakin meningkat dalam kalangan syarikat Jepun untuk meneroka pasaran makanan halal.

Presiden dan Ketua Pengarah Eksekutif Otafuku Holdings Co., Ltd., Naoyoshi Sasaki berkata, syarikat akan terus menghasilkan pelbagai jenis perasa halal di bawah kawalan kualiti yang ketat dengan menggunakan kepakaran dan resipi yang telah dibangunkan selama beberapa dekad. 

Katanya, pensijilan halal tersebut dilihat sebagai langkah strategik penting, memandangkan pengiktirafan halal Jakim adalah penanda aras global yang diyakini oleh syarikat agromakanan Jepun.

“Sebagai hab Asia Tenggara bagi kumpulan Otafuku, kami menyasarkan untuk membekalkan produk halal yang selamat dan dipercayai oleh pasaran masyarakat Islam dan antarabangsa, di samping mempromosikan keunikan masakan Jepun seperti okonomiyaki di persada dunia.

“Syarikat ini telah memperoleh pensijilan halal pertama pada Mac 2017 untuk 16 produk pemilikan dan pengilang reka bentuk asal (ODM) . 

“Otafuku Sauce juga sedang memperluas pengedarannya ke Jepun, negara-negara jiran serta pasaran Islam di Asia Barat dan Eropah,” katanya kepada Utusan Malaysia. 

Kini, Otafuku Sauce Malaysia mengeluarkan lebih 100 produk halal termasuk sos okonomi, perasa pedas seperti sos kimchi, perasa sos berasaskan soya seperti sos teriyaki serta produk berasaskan cuka seperti perasa nasi sushi. 

Menurut beliau, sebanyak 85 peratus hasil jualan Otafuku Sauce Malaysia merupakan pasaran tempatan manakala, selebihnya meliputi pasaran eksport ke Indonesia, Singapura, United Kingdom, Emiriah Arab Bersatu, Jepun dan lain-lain.

Sasaki berkata, Indonesia kekal sebagai sasaran pasaran strategik utama pada masa hadapan.

“Syarikat merancang untuk memperluas ke pasaran Asia Barat dan Eropah melalui penyertaan dalam pameran perdagangan serta pengukuhan strategi pemasaran digital dan e-dagang,” katanya. 

Setakat ini, kapasiti pengeluaran sos adalah berjumlah enam juta liter setahun dengan kapasiti keluasan tapak kilang berjumlah 9,066 meter persegi di Sendayan Techvalley, Bandar Seri Sendayan.

Kilang ini dilengkapi mesin pengisian separa automatik dan mesin pengsian pek kecil membolehkan kapasiti pengeluaran yang dianggarkan lapan kali ganda lebih tinggi daripada sebelum ini. 

Otafuku Sauce telah memasuki pasaran Malaysia hampir 10 tahun lalu dan kini melangkah ke fasa kedua pengembangannya dengan pengumuman pelaburan baharu bernilai RM50 juta.

Melangkah ke hadapan, sasaran syarikat adalah untuk mengembangkan segmen pasaran halal sambil mengekalkan kualiti dan konsistensi yang menjadi identiti Otafuku Sauce. 

“Syarikat berhasrat untuk memperluaskan capaian pasaran di Malaysia, memperkukuh kedudukan dalam pasaran pengguna Islam serta meneroka peluang di wilayah lain yang mempunyai kesedaran tinggi terhadap produk halal. 

“Pada masa sama, Otafuku Sauce akan terus meningkatkan kecekapan pengeluaran bagi memenuhi permintaan yang semakin bertambah tanpa menjejaskan keupayaan operasi yang fleksibel,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN