SHAH ALAM: Dakwaan dan tuduhan dari sesetengah pihak atau pertubuhan Islam bukan kerajaan (NGOi) tertentu bahawa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menghalang badan itu daripada terlibat dalam pengurusan jenazah Covid-19 adalah tidak berasas sama sekali.
Menurut Pengarahnya, Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad, JAIS menjalin kerjasama berterusan dengan lebih lapan NGOi dengan kekuatan lebih 130 sukarelawan yang terlibat secara langsung dalam pengurusan jenazah Covid-19.
“JAIS amat menghargai sumbangan semua NGOi berkenaan yang mengendalikan dengan baik pengurusan 2,071 jenazah Covid-19 sejak Januari tahun ini.
“JAIS menegaskan bahawa NGOi sangat memberi sumbangan besar dalam pengurusan jenazah Covid-19 di Negeri Selangor. Namun, penglibatan NGOi tetap diselaras, dipantau dan dibantu sesuai dengan tanggungjawab JAIS sebagai agensi yang mengurus hal ehwal Islam di Negeri Selangor,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd.Shahzihan berkata, beberapa isu dan permasalahan berbangkit melibatkan NGOi dan kes jenazah tertunggak untuk dikebumikan di beberapa hospital di negeri ini, menyebabkan JAIS mengambil keputusan untuk meneliti, menilai dan menstruktur semula peranan dan penglibatan NGOi dalam mengurus Jenazah Covid-19 di Negeri Selangor.
Dalam masa yang sama katanya lagi, mana-mana NGOi lain yang berhasrat untuk bersama JAIS, adalah dipelawa menyertai JAIS dan rakan NGOi lain sedia ada untuk bersama menunaikan tuntutan fardhu kifayah dengan syarat sanggup mematuhi syarat-syarat dan kod etika yang ditentukan..
“Selain daripada itu, NGOi yang diiktiraf hendaklah melaksanakan tanggungjawabnya berdasarkan prinsip hukum syarak, khidmat bakti dan mengutamakan kepentingan umum.
“JAIS komited dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak atau individu yang mengenepikan kepentingan umum dan mengeksploitasi keadaan genting ini untuk kepentingan lain,” katanya. – UTUSAN