KUANTAN: Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) bekerjasama dengan hotel Grand Darul Makmur (GDM) di sini, bagi melaksanakan Program Vaksinasi Industri Pembinaan (CIVac).
Turut terlibat dalam kerjasama itu, Klinik Al-Amin yang menguruskan tentang penjagaan kesihatan.
Lebih 5,000 pekerja yang terlibat dalam industri pembinaan di Zon Timur menyertai program bermula Selasa lalu sehingga 23 Ogos itu.
Menerusi program kendalian CIDB itu, GDM menyediakan lokasi suntikan vaksin diberi nama Pusat Pemberian Vaksin Industri (PPVIN).
CIVac adalah program kerjasama kerajaan dan swasta bertujuan mempercepat pengambilan vaksinasi dalam kalangan pekerja pembinaan bagi mengurangkan bilangan kluster pandemik Covid-19 dalam kelompok tempat kerja.
Seorang pengurus syarikat pembinaan, Aida Pang berkata, pihaknya menyambut baik pelaksanaan program CIVac yang mana ia memudahkan urusan bagi memastikan setiap pekerja divaksin.
Jelasnya, menerusi program itu, pekerja di sektor pembinaan tidak perlu menunggu lama untuk divaksin sekali gus membolehkan syarikat kembali beroperasi apabila lengkap dua dos suntikan.
“Memang bagus program ini (CIVac), ramai pekerja mahu divaksin jadi menerusi program ini, saya dapat bawa pekerja untuk menerimanya.
“Hari ini, lebih 50 pekerja di syarikat pembinaan kami dibawa ke GDM arini, terima kasih kepada kerajaan kerana melaksanakan CIVac,” katanya ketika ditemui pemberita di PPVIN GDM di sini hari ini.
Aida berkata, dia berharap proses vaksinasi berjalan lancar kerana ia penting bagi membolehkan syarikat pembinaan itu kembali beroperasi selepas terpaksa menghentikannya akibat Covid-19. – UTUSAN ONLINE










