fbpx

Busana pahlawan Melayu curi tumpuan di Paralimpik Tokyo

KONTIJEN Malaysia dalam perbarisan dengan giliran yang ke-139 memasukinya di Stadium Olimpik, Tokyo. - GAMBAR HIASAN/IHSAN MPM

PETALING JAYA: Seperti Olimpik Tokyo, kontinjen Malaysia sekali lagi mencuri tumpuan apabila memperagakan persalinan pahlawan semasa perbarisan upacara pembukaan Sukan Paralimpik 2020, sebentar tadi.

Busana tersebut diinspirasikan menerusi persalinan Laksamana Hang Tuah daripada segi penggayaan dan adaptasi motif tradisional dengan idea segar serta mengekalkan Jalur Gemilang sebagai warna utama.

Tatacara pemakaian lengkap bertanjak, baju sikap dan samping melambangkan kejituan rasa cinta kepada Malaysia dan pakaian kebangsaan.

Begitu juga busana wanita lengkap berdokoh dan selendang tampak sopan dan membiaskan identiti Malaysia yang kaya dengan budaya tersendiri.

Corak songket bunga tabur diolah dari motif tradisional tampuk manggis adalah elemen budaya yang diterapkan dalam rekaan tersebut.

Penggunaan motif tersebut pada tanjak dan samping serta kain serta selendang wanita sangat terserlah dengan elemen tradisional mendapat sentuhan moden.

Penggunaan kombinasi warna Jalur Gemilang yang disusun secara harmoni dapat menaikkan lagi busana itu, yang kelihatan sangat anggun dengan gaya tersendiri.

Rekaan busana tersebut hasil rekaan daripada Jabatan Seni Reka Fesyen, Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, Shah Alam.

Seramai 10 orang mewakili kontinjen negara dalam perbarisan tersebut, dengan Malaysia yang ke-139 memasukinya di Stadium Olimpik, Tokyo.

Dalam perbarisan tersebut, jaguh powerlifting, Bonnie Bunyai Gustin dan atlet olahraga, Siti Noor Iasah Ariffin ditugaskan sebagai pembawa Jalur Gemilang.

“Saya amat berbesar hati dipilih sebagai pembawa bendera dalam upacara pembukaan pada temasya terbesar ini. Saya harap saya memperoleh kejayaan nanti,” kata Bonnie beberapa jam sebelum menyertai perbarisan tersebut.

Turut dalam perbarisan, Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), yang juga Chef de Mission ke Paralimpik Tokyo, Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin dan pemenang emas edisi lalu menerusi lontar peluru , Ziyad Zulkifli.

Selain itu juga kelihatan, Abu Samah Borhan daripada atlet tenis berkerusi roda; S. Suresh (memanah); Johari Wahab, Dr. Azril Syazwan Ali, Intan Rohaya Muhammad serta G. Mohan (sekretariat kontinjen).

 

 

BERITA BERKAITAN

Menarik di Kosmo!