Bot dikendalikan warga asing langgar syarat lesen ditahan - Utusan Malaysia

Bot dikendalikan warga asing langgar syarat lesen ditahan

BOT nelayan yang dikendalikan empat warga asing tanpa dokumen yang ditahan di Pulau Buloh dekat Lumut semalam. - UTUSAN/IHSAN MARITIM MALAYSIA PERAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perak menahan sebuah bot nelayan tempatan Kelas B kerana melanggar syarat sah lesen di kedudukan lebih kurang 4.4 batu nautika barat daya perairan Pulau Buloh dekat sini petang semalam.

Pengarah Maritim Perak, Kapten Maritim Shahrizan Raman berkata, tangkapan dilakukan oleh bot ronda Maritim yang melaksanakan Op Benteng dan Op Pintas di sempadan perairan Perak kira-kira pukul 6.45 petang.

“Pemeriksaan lanjut mendapati, bot dikendalikan empat kru warga Myanmar berusia lingkungan 21 hingga 49 tahun tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, ketika ditahan, bot tersebut sedang melakukan aktiviti perikanan berhampiran Pulau Buloh dengan menggunakan pukat tunda sebagai alat penangkapan ikan dan disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 iaitu menangkap ikan kurang daripada lima batu nautika seperti kebenaran syarat sah lesen serta Akta Imigresen 1959/63.

Jelasnya, bot bersama empat kru termasuk tekong serta hasil tangkapan yang dianggarkan lebih kurang 400 kilogram itu dibawa ke Pusat Tahanan Vesel (PTV) Kampung Bharu, Sitiawan pada pukul 9 malam tadi untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Perak bagi tindakan lanjut.

Beliau meminta orang ramai memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat lengkap sebarang aktiviti jenayah maritim dan pelanggaran undang-undang melalui talian MERS 999 dan Pusat Operasi Maritim Perak 05-6838737 dan berterima kasih di atas maklumat yang telah disalurkan bagi tujuan keselamatan bersama.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN