PETALING JAYA: Menghayati Hari Kemerdekaan dengan tema ‘Malaysia Prihatin’, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menzahirkan azam dan tekad memperkasakan amalan politik khidmat bakti kepada rakyat setiap peringkat terutama dalam membantu mereka yang masih terkesan akibat pandemik Covid-19.
Untuk itu Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyeru semua pihak mengetepikan segala perbezaan yang ada selain memperbaharui iltizam nasional secara kolektif untuk memfokuskan agenda kepada membangunkan negara dan membela rakyat.
“Kita perlukan usaha berterusan untuk mengukuhkan perpaduan antara rakyat Malaysia yang majmuk dan seterusnya menjadi pemangkin kepada kemajuan negara di masa hadapan dalam segala aspek termasuk ekonomi, pendidikan dan sosial.
“Bersatu menyambut baik konsep ‘Keluarga Malaysia’ yang ditampilkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan menyifatkan pendekatan tersebut bertepatan bagi memelihara keharmonian antara rakyat berbilang agama, bangsa dan budaya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sebelum ini, Ismail Sabri menyeru seluruh rakyat membulatkan tekad bersama-sama memulihkan negara dengan memfokuskan usaha dan pemikiran sebagai sebuah keluarga Malaysia.
Jelas Ismail Sabri, kebersamaan dituntut ketika ini dalam menghadapi cabaran yang belum pernah ditempuh termasuk wabak penyakit dan kegawatan ekonomi yang menggugat kestabilan politik negara seluruh dunia.
Dalam pada itu Muhyiddin menambah, Bersatu yakin barisan Kabinet yang baharu dilantik mampu mentadbir negara dengan aspirasi rakyat yang mahukan proses pemulihan negara yang telah dirancang, berjalan lancar dan inklusif.