PUTRAJAYA: Pemakaian seragam sekolah akan diselaraskan tanpa ada lagi pelbagai warna mengikut sekolah sehingga membebankan ibu bapa untuk menyediakan keperluan itu.
Pada masa ini, pihak Kementerian Pendidikan (KPM) sedang melaksanakan kajian menyeluruh berhubung perkara itu sejak September lalu melibatkan pelbagai pihak berkepentingan dan semua aspek berkaitan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pengarah Pendidikan, Dr. Mohd. Azam Ahmad berkata, keputusan berkaitan pakaian seragam sekolah hanya dibuat selepas semua aspek diteliti rapi dan akan diumumkan selewat-lewatnya Ogos 2026 dan dijangka dilaksana pada tahun 2027.
Jelasnya, pendekatan pelaksanaan adalah secara berperingkat dan akan dimulakan bagi kumpulan murid Tahun 1 atau Tingkatan 1 terlebih dahulu, diikuti tahun berikutnya dengan satu-satu kohort sehingga pelaksanaan secara menyeluruh selesai.
“Saya dapati ada sesetengah sekolah mempunyai pakaian yang beragam warnanya. Ada yang saya jumpa pakaian sekolah murid di sebuah sekolah itu lebih daripada tujuh warna.
“Saya fikir pakaian sekolah yang terlalu banyak warna tidak mendorong kita mendidik anak-anak tentang semangat perpaduan. Dikhuatiri, kita mendidik anak-anak ini dari kecil tentang hidup membeza-beza dan bersaing.
“Saya percaya bahawa pakaian sekolah yang beragam warna ini memberikan cabaran kewangan kepada ibu bapa yang kurang berkemampuan. Sekiranya pakaian sekolah dengan warna yang sama, ia membolehkan pakaian kakak atau abang itu diwarisi oleh adik,” katanya di sini semalam.

Menurut Mohd. Azam, beliau turut mendapat aduan ada sekolah mempunyai lebih daripada lima helai baju kemeja-T berlainan seperti baju kemeja-T untuk sekolah, rumah sukan, Pendidikan Jasmani, badan beruniform dan persatuan.
Katanya, terdapat juga sesetengah sekolah mempunyai pemakaian blazer, vest, baju untuk keluar asrama, baju korporat dan baju Melayu, malah ia berbeza-beza antara satu sekolah dengan sekolah lain.
Situasi ini, katanya, akan menyukarkan mana-mana murid yang berpindah sekolah pada pertengahan tahun yang sama, sekali gus memberi cabaran kewangan kepada ibu bapa.
“Secara jujurnya, saya tidak gembira dengan keadaan ini. Saya mahukan sekolah menjadi tempat bagi murid-murid mendapat pendidikan yang berkualiti dalam aspek intelek, rohani, emosi dan jasmani.
“Oleh itu, perkara-perkara yang bersifat kosmetik dan tidak memberikan impak kepada pendidikan murid-murid mesti dihindari, lebih-lebih lagi perkara tersebut memerlukan kos yang tidak sepatutnya dikeluarkan oleh ibu bapa sehingga menjadikan persekolahan anak-anak suatu yang amat mahal,” katanya.
Mengulas keputusan tidak mewajibkan pemakaian tali leher oleh murid sekolah berdasarkan surat siaran KPM yang dikeluarkan 17 Disember lalu, beliau berkata, KPM cakna terhadap tanggungjawab dan kekangan kewangan ibu bapa dalam menyediakan pelbagai kelengkapan persekolahan sewaktu sesi baharu pembukaan sekolah terutama mereka yang ada anak ramai bersekolah.
Namun, beliau menjelaskan, keputusan itu perlu berdasarkan permuafakatan antara pihak sekolah dengan ibu bapa atau Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) untuk melaksanakan keputusan itu secara beransur-ansur dan penuh berhemah.
Sebagai contoh, katanya, pihak sekolah dan PIBG boleh menetapkan satu keputusan yang jelas misalnya bagi tahun 2026 atau 2027, murid Tahun 1 atau Tingkatan 1 tidak diwajibkan membeli tali leher. Ini bermaksud murid Tahun 1 atau Tingkatan 1 tidak diwajibkan memakai tali leher pada tahun 2026 atau 2027.
“Sementara murid-murid lain yang telah mempunyai tali leher boleh meneruskan pemakaian tali leher yang ada. Demikianlah tindakan berikutnya dari tahun ke tahun sehingga keputusan tidak memakai tali leher itu dapat dilaksanakan sepenuhnya.
“Apa-apapun keputusan perlu disepakati bersama-sama dan dasarnya tetap, iaitu pemakaian tali leher oleh murid ke sekolah adalah tidak wajib.
“Penjelasan dasar ini penting untuk dijadikan panduan pihak sekolah dan ibu bapa atau PIBG dalam menetapkan keputusan berhubung keperluan persekolahan anak-anak, di samping membantu menangani beban kewangan sesetengah ibu bapa,” katanya.
Pada masa sama, katanya, pemakaian tali leher murid sekolah juga perlu diteliti akan kesesuaiannya kerana iklim negara kita yang panas dengan suhu melebihi 32 darjah celsius.
KPM melihat faktor keselesaan murid-murid belajar dalam cuaca yang panas perlu diambil kira. – UTUSAN










