ALOR SETAR: Semua pihak perlu memberi sokongan kepada Kabinet ‘Keluarga Malaysia’ yang baru diumum hari ini dan melaksanakan ‘gencatan’ politik buat sementara waktu demi nyawa dan kesejahteraan rakyat.
Ketua UMNO Bahagian Sungai Petani, Datuk Shahanim Mohamad Yusoff berkata, pihaknya beranggapan walaupun ada segelintir yang melahirkan rasa kurang senang atas pengumuman ahli Kabinet itu, namun ia diyakini mengambil kira semua faktor khususnya yang melibatkan kepentingan rakyat.
“Adalah diingatkan kerajaan yang baru ditubuhkan ini adalah atas gabungan pelbagai fraksi dan parti politik oleh itu sebarang perubahan drastik boleh mengakibatkan rakyat menjadi mangsa.
“Ambillah pedoman daripada peribahasa Melayu, ibarat menarik rambut dalam tepung, rambut jangan putus, tepung jangan berselerak,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Barisan Nasional Parlimen Sungai Petani, dalam keadaan pandemik dan kesukaran ekonomi, perubahan besar anggota kabinet dan portfolio akan merencatkan kelicinan jentera kerajaan buat sementara waktu.
“Ini kerana seseorang menteri yang baharu akan mengambil masa berbulan untuk mengenali dan memahami perjalanan kementerian tersebut sedangkan kita mengharapkan keputusan segera untuk memastikan angka jangkitan dapat diturunkan dengan kadar segera,” ujar beliau. – UTUSAN ONLINE