Berhimpun: 4 Ahli Parlimen telah diambil keterangan - Utusan Malaysia

Berhimpun: 4 Ahli Parlimen telah diambil keterangan

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Seramai empat ahli Parlimen  hadir ke Ibu pejabat Polis Daerah Dang Wangi bagi memberi keterangan berhubung perhimpunan berhampiran Dataran Merdeka,  Isnin lalu.

Mereka yang hadir terdiri Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng; Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr. Maszlee Malik;  Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil dan  Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua Kiam Wee kira-kira pukul 10 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah mengesahkan perkara itu kepada Utusan Online.

Ketika ditanya sama ada terdapat ahli Parlimen lain yang akan dipanggil hari ini, Mohamad Zainal enggan mengulas mengenai perkara itu.

“Ada empat ahli Parlimen dipanggil hari ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sementara itu, Tony Pua memberitahu, beliau telah memberi kerjasama penuh sepanjang keterangannya diambil.

Kata beliau, antara isu yang dibangkitkan adalah mengenai penjarakan sosial dan perhimpunan. 

“Sekali lagi ingin ditegaskan di sini, kami bukan berhimpun sebaliknya kami disekat untuk memasuki kawasan masuk ke Parlimen.

“Akibatnya kami terpaksa membincangkan langkah seterusnya dan kami ada hak untuk masuk ke Parlimen.

“Pihak polis seharusnya menjalankan siasatan kes-kes yang lebih serius bukan menyekat Ahli Parlimen menjalankan tugas mereka,” katanya di sini hari ini.

Dalam pada itu, Utusan Malaysia difahamkan dua lagi Ahli Parlimen iaitu  Hannah Yeoh dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman turut akan hadir memberi keterangan petang ini.

Terdahulu,  Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima sebanyak 206 laporan berhubung perhimpunan oleh ahli Parlimen pembangkang di Dataran Merdeka pada Isnin lalu.

Sehubungan itu satu kertas siasatan dibuka bagi laporan yang diterima dan akan memanggil individu yang terlibat bagi melengkapkan kertas siasatan.

Kes itu disiasat mengikut Peraturan 9 dan Peraturan 10 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021.

Kes itu juga disiasat mengikut Seksyen 21a Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan Seksyen 269 Kanun Keseksaan (Akta 574). – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.