SUNGAI PETANI: Bekas Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Ahli Parlimen di negeri ini, direman bagi membantu siasatan berhubung penyelewengan Peruntukan Khas Jabatan Perdana Menteri pada tahun 2019 dan 2020.
Majistret Noor Fazlina Musa membenarkan perintah tahanan reman terhadap suspek berusia 43 tahun selama tiga hari bermula hari ini ke atas selepas mendapat permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Suspek terbabit ditahan SPRM pada pukul 4.31 petang semalam, ketika memberi keterangan di Pejabat SPRM Sungai Petani bagi membantu siasatan kes penyelewengan berjumlah RM140,600.
Suspek dikatakan menyeleweng peruntukan antara RM9,500 hingga RM34,000 bagi pelbagai kerja dan pembekalan melalui tujuh invois palsu bagi menuntut bayaran daripada ahli Parlimen terbabit.
Difahamkan, lelaki terbabit melakukan kegiatan itu antara Ogos 2019 dan Januari 2020 dengan dia disiasat mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd Manap ketika dihubungi mengesahkan penahanan suspek dan kes berkenaan masih dalam siasatan lanjut. – UTUSAN ONLINE










