GEORGETOWN: Mayat tiga mangsa rentung dalam kejadian kemalangan melibatkan sebuah kereta Toyota Vios di Jalan Masjid Negeri di sini semalam akan dibedah siasat di Hospital Pulau Pinang (HPP) pukul 9 pagi esok.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, polis setakat ini belum menerima sebarang laporan daripada waris kesemua individu terlibat dalam kejadian yang berlaku pada awal pagi semalam.
“Tiada laporan polis tetapi ada yang datang iaitu warga tempatan mengatakan kemungkinan mangsa ialah anak mereka.
“Pihak polis tidak akan membuat sebarang kesimpulan tentang identiti mangsa sehingga proses pengecaman mayat dijangka dibuat pagi esok selepas selesai bedah siasat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Terdahulu, Utusan Online melaporkan sehingga petang semalam polis belum menerima sebarang laporan kehilangan tiga mangsa kemalangan terbabit daripada waris terdekat setelah kejadian berlaku 15 jam lalu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.45 pagi itu, tiga individu ditemukan dalam keadaan rentung selepas kereta jenis Toyota Vios yang dinaiki mereka terbakar dipercayai merempuh sebatang pokok di tepi Jalan Masjid Negeri.
Pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak membantu memadamkan kebakaran dan mengeluarkan mayat mangsa yang terperangkap.










