Beberapa kampung di kaki Gunung Jerai dilanda banjir - Utusan Malaysia

Beberapa kampung di kaki Gunung Jerai dilanda banjir

SALAH sebuah rumah yang rosak di Kampung Sungai Badak, Gurun selepas kejadian kepala air dari berapa kawasan peranginan di kaki Gunung Jerai, Yan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

YAN: Penduduk di beberapa buah kampung di sekitar Yan, Gurun dan Tupah di sini dilanda banjir kilat berikutan kejadian limpahan air deras dipercayai akibat kejadian kepala air dari beberapa kawasan peranginan air terjun di kaki Gunung Jerai di sini pada petang ini.

Kebanyakan kampung terlibat terletak berdekatan dengan beberapa sungai di kaki Gunung Jerai di sini.

Antara kawasan peranginan air terjun itu ialah Titi Hayun, Seri Perigi dan Batu Hampar.

Penduduk, Zamzurina Ab. Rahman, 45, berkata, dia yang berada di rumah terdengar bunyi deruan air yang kuat dari kawasan peranginan Seri Perigi di sini kira-kira pukul 3.30 petang.

“Saya terus ke kawasan tersebut yang terletak kira-kira satu kilometer dari rumah saya dan mendapati berlaku limpahan air akibat kepala air yang turun dari air terjun.

“Keadaan air deras yang turun dari kawasan air terjun itu sangat menakutkan yang mana air turut melimpah ke beberapa rumah dan chalet berhampiran,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Katanya, kejadian kepala air itu menyebabkan kawasan peranginan tersebut dipenuhi lumpur dan kayu selain permukaan tar jalan turut rosak.

Menurut Zamzurina, kalangan penduduk bimbang air dari kawasan air terjun itu akan melimpah lagi kerana hujan masih lebat.

Pengerusi Persatuan Rekreasi Luar Daerah Yan, Mohamad Firdaus Mohmad berkata, keadaan yang berlaku sangat teruk dan beliau masih tidak mempunyai maklumat jumlah rumah yang terjejas selain sama ada berlaku kemalangan jiwa atau tidak.

“Keadaan hujan masih lebat dan ada maklumat yang saya terima beberapa rumah terletak berhampiran sungai turut dinaiki air,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya