PETALING JAYA: Anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang menembak mati tiga rakannya dalam kejadian di Kota Samarahan, Sarawak pagi ini dipercayai mengalami masalah kemurungan.
Menurut sumber, susulan kejadian itu, anggota berkenaan turut bertindak di luar kawalan apabila menembak dirinya sendiri sehingga maut.
“Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan lagi perkara itu,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan memberitahu Utusan Malaysia, siasatan akan dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mencari punca kejadian.
“Tidak dapat disahkan punca kejadian itu, kita masih menyiasat perkara ini sama ada kejadian itu berkait dengan perbuatan jenayah atau tidak,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Terdahulu, Markas Tentera Udara dalam kenyataan memaklumkan, insiden itu berlaku pada pukul 7.15 pagi ketika waktu anggota bertugas.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail yang mengesahkan kes itu berkata, empat maut dalam kejadian tembak di Kem TUDM Kota Samarahan dalam kejadian berlaku pukul 7.50 pagi di Balai Pengawal Handau Skuadron 330 TUDM.
“Difahamkan kejadian itu berlaku ketika masa serah tugas. Salah seorang anggota TUDM dipercayai menembak tiga rakannya sebelum menembak diri sendiri,” katanya dalam kenyataan.










