Industri padi boleh hancur tanpa subsidi diesel jentera pertanian

Industri padi boleh hancur tanpa subsidi diesel jentera pertanian – Sanusi

MUHAMMAD SANUSI MD NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALING: Kerajaan Persekutuan digesa mengambil tindakan segera dengan menyalurkan subsidi diesel kepada jentera pertanian bagi memastikan industri padi negara tidak terjejas akibat peningkatan kos operasi.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, subsidi tersebut amat diperlukan terutama kepada jentera menuai, traktor dan peralatan lain yang digunakan pesawah kerana kebanyakannya bergantung sepenuhnya kepada penggunaan diesel.

Katanya, sekiranya bantuan itu tidak diberikan, kos pengeluaran yang semakin tinggi boleh menyebabkan industri padi sukar diusahakan dan berisiko menjejaskan bekalan beras negara.

“Jentera menuai, jentera membajak, traktor termasuk kubota dan apa sahaja mesin yang guna minyak diesel perlu diberi subsidi. Kalau tidak, industri padi boleh hancur sebab kos terlalu tinggi dan pesawah tak mampu nak usahakan lagi,” katanya selepas Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Majlis Ketua Kampung (MKK) Negeri Kedah, semalam.

Mengulas kenaikan harga diesel melebihi RM6 ketika ini yang kesannya amat dirasai sektor pertanian terutama berkaitan penanaman padi yang tidak menikmati bantuan subsidi.

Muhammad Sanusi turut mencadangkan agar kerajaan menyediakan kemudahan fleet card kepada pengusaha jentera pertanian supaya subsidi diesel dapat disalurkan secara lebih tersusun dan sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan.

“Ini bukan sekadar perlukan perhatian, tetapi tindakan segera daripada Kerajaan Persekutuan. Semua jentera yang guna diesel untuk kerja bendang perlu diberikan subsidi,” katanya.

Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap cadangan pelaksanaan kaedah tabur terus kering (TTK) yang disaran oleh Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) susulan masalah kekurangan air ketika ini.

Katanya, walaupun pendekatan tersebut dilihat sebagai alternatif ketika musim kemarau, pelaksanaannya mempunyai risiko tinggi kepada pesawah.

“Saya bimbang sebab kalau buat tabur kering ini, risiko padi angin tinggi. Kos sudah keluar tetapi hasil tak dapat, akhirnya pesawah yang rugi,” katanya.

Katanya pesawah wajar menangguhkan penanaman padi bagi Musim 1/2026 buat sementara waktu sehingga keadaan kembali sesuai.

“Kita tunggu dulu sampai hujan dan air kembali mengalir di kawasan bendang. Bila keadaan sudah pulih, barulah buat penanaman semula,” katanya.

Bagaimanapun, Muhammad Sanusi berkata, sekiranya kaedah TTK tetap mahu dilaksanakan secara serius, ia sepatutnya dilakukan melalui konsep penanaman padi darat atau padi huma yang pernah beliau usahakan sebelum ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN