Anggota APM maut kemalangan dirempuh treler - Utusan Malaysia

Anggota APM maut kemalangan dirempuh treler

ZIKRI Zafuan yang meninggal dunia dalam kemalangan di Sungai Petani.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Seorang anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) maut selepas motosikal yang ditungganginya dilanggar sebuah treler di simpang empat lampu isyarat berdekatan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang itu, Zikri Zafuan, 20, yang berasal dari Kampung Ternang Dalam, Tanah Merah, Kelantan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, kemalangan berlaku apabila mangsa yang menunggang motosikal dalam perjalanan dari arah bandar ini menghala ke Kuala Ketil dekat sini.

Adzli berkata, menurut saksi kejadian, kemalangan berlaku apabila treler yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 53 tahun itu tidak berhenti sewaktu lampu isyarat merah dan telah melanggar bahagian hadapan kanan motorsikal yang ditunggang mangsa dari laluan simpang kiri sewaktu lampu isyarat hijau.

“Akibat kemalangan itu, mangsa yang menunggang motosikal maut di tempat kejadian akibat parah di kepala manakala pemandu treler pula tidak mengalami kecederaan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut beliau, mangsa yang meninggal dunia merupakan seorang anggota APM Kuala Muda yang menetap di sini bersama bapa saudaranya.

“Kita telah maklumkan kejadian ini kepada waris mangsa di termasuk kepada pegawai APM Kuala Muda,” katanya.

Jelas beliau, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN