PETALING JAYA: Gara-gara menegur anak menconteng dinding, seorang bapa dipukul sehingga patah rusuk dalam kejadian di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pantai Ria, dekat sini kelmarin.
Kejadian dipercayai berlaku pada pukul 3 petang apabila mangsa berusia 68 tahun itu berada di rumah serta menegur tindakan anak bongsunya yang menconteng dinding rumah menggunakan pen marker.
Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields, Superintenden Basri Sagoni berkata, akibat tidak berpuas hati, suspek bertindak memarahi dan menendang mangsa dengan menggunakan kaki di bahagian rusuk kanan badannya.
“Pergaduhan ini menyebabkan mangsa mengalami sakit di bahagian badan dan leher.
“Mangsa turut mendapatkan rawatan di Hospital Tuanku Jaafar Seremban, Negeri Sembilan dan pakar perubatan mengesahkan pengadu mengalami patah salah satu tulang rusuk kanan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Basri, susulan itu, sepasukan polis dari IPD Brickfields telah pergi ke rumah tersebut dan menjalankan tangkapan ke atas suspek berusia 26 tahun.
Jelasnya, hasil ujian saringan air kencing ke atas suspek dijalankan dan didapati negatif dan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.
“Suspek mengaku telah menendang perut bapanya kerana mahu mempertahankan diri dari dipukul.
“Suspek mendapat perintah reman dua hari sehingga 28 Ogos ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera parah dan jika sabit kesalahan, penjara selama tempoh yang boleh sampai tujuh tahun dan boleh dikenakan denda,” ujarnya.
Tambahnya, jika mempunyai maklumat lain berkaitan jenayah boleh disalurkan kepada Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana Balai Polis yang berdekatan.- UTUSAN










