Alip Yong tenang setiap kali di masjid - Utusan Malaysia

Alip Yong tenang setiap kali di masjid

YONG Kah Seng turut membantu membersihkan ruang solat di Masjid Kariah Pekan Mantin. – UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Bagi jemaah Masjid Kariah Pekan Mantin, Mantin dekat sini, kelibat seorang remaja lelaki Cina yang selalu terlibat dalam aktiviti dan program di masjid berkenaan bukanlah asing bagi mereka.

Namun bagi orang lain, pasti akan tertanya-tanya siapakah remaja tersebut dan mungkin ada yang beranggapan dia merupakan seorang mualaf.

Remaja itu, Yong Kah Seng, 16, memberitahu, masjid berkenaan sudah seperti rumah keduanya kerana dia sering menjadikan pekarangan masjid tersebut sebagai tempat permainannya sejak berusia lima tahun.

Dia yang tinggal di sebuah rumah kedai tidak jauh dari masjid itu bersama neneknya menambah, kerana selalu berada di masjid, dia membesar dalam suasana komuniti orang Melayu malah dia juga mengakui mempunyai lebih ramai rakan Melayu.

“Sejak dari kecil saya sudah berada di sini, bermain dengan rakan-rakan yang kebanyakannya orang Melayu, saya gembira dan seronok walaupun kami berbeza agama dan bangsa, tiada masalah langsung.

“Kemudian kerana saya sering kelihatan di masjid, ada jemaah yang mengajak saya sertai aktiviti dan program yang masjid buat, lama-kelamaan semua aktiviti saya ikut, saya rasa tenang setiap kali berada di masjid,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia di masjid berkenaan baru-baru ini.

Kah Seng atau dikenali dengan nama Alip Yong dalam kalangan jemaah berkata, dia dibesarkan oleh neneknya, Yong Tian, 85, sejak kecil setelah kedua ibu bapanya meninggal dunia.

“Nenek tahu aktiviti saya, jika tidak berada di rumah tentu saya berada di masjid, jadi dia tidak risau. Dia juga tidak pernah menghalang saya ikut sama dalam program-program masjid.

“Cuma dia ada menasihatkan saya supaya sentiasa menjaga diri dan menunjukkan sikap yang baik serta tidak menimbulkan sebarang masalah ketika di masjid,” katanya yang kini belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mantin.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN