ALOR SETAR: Trend peningkatan kes Covid-19 di Kedah kebelakangan ini berlaku berikutan pertambahan aktiviti pengesanan kes secara pasif dan aktif, selain penjejakan kontak dan saringan bergejala yang dilakukan sejak bulan lalu.
Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Othman Warijo berkata, langkah itu diambil bagi mengesan sebanyak mungkin kes positif dengan tujuan mengasingkan mereka agar tidak menjangkiti orang lain.
Cara itu juga, katanya, membolehkan individu yang dijangkiti Covid-19 diberikan rawatan pada peringkat lebih awal.
“Pada 8 Ogos 2021, sebanyak 1,610 kes baharu Covid-19 telah disahkan dan direkodkan di negeri Kedah.
“Bilangan itu merupakan rekod harian tertinggi setakat ini bagi negeri Kedah sehingga menimbulkan kegugusan pelbagai pihak,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau menambah, pertambahan aktiviti pengesanan kini mula membuahkan hasil apabila analisis dijalankan mendapati peningkatan jumlah kes baharu pada minggu epidemiologi (ME) terkini, mula menunjukkan pengurangan berbanding minggu-minggu sebelumnya.
“Analisis Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) menunjukkan peningkatan jumlah kes baharu pada ME 31 bagi tahun ini yang merangkumi tarikh 1 hingga 7 Ogos, adalah sebanyak 12 peratus berbanding jumlah kes baharu sepanjang ME 30 iaitu 25 hingga 31 Julai.
“Peningkatan jumlah kes baharu itu jelas lebih rendah berbanding kadar 55 peratus dan 48 peratus untuk dua minggu sebelumnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, fakta itu disokong oleh analisis dijalankan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang menunjukkan kadar kebolehjangkitan semasa (Rt) di Kedah menurun secara konsisten daripada 1.26 pada 26 Julai 2021 kepada 1.13 pada 8 Ogos 2021. – UTUSAN ONLINE