Aksi pegang pistol tiruan bawa padah - Utusan Malaysia

Aksi pegang pistol tiruan bawa padah

AKSI lelaki memegang senjata api menyerupai pistol ketika berkumpul di hadapan sebuah rumah di Ipoh semalam. - UTUSAN/MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Perbuatan seorang lelaki memegang senjata api menyerupai pistol ketika berkumpul bersama dua rakannya di hadapan sebuah rumah di sini, memakan diri apabila mereka ditahan semalam.

Tiga lelaki berusia antara 20 ke 22 tahun itu ditahan oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak pada pukul 2.30 petang.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya mengesan aksi yang mendatangkan kegusaran awam itu menerusi video tular di aplikasi WhatsApp pada pukul 1.30 petang hari yang sama.

Katanya, bertindak atas maklumat, pihaknya berjaya mengesan dan menangkap dua lelaki serta merampas senjata tiruan menyerupai pistol semi-auto.

“Ketika ditahan, kedua-dua suspek sedang menaiki motosikal mengelilingi Kampung Paloh. Seorang lagi suspek ditahan pada pukul 7 petang.

“Berdasarkan siasatan, ketiga-tiga mereka mengaku membeli senjata api tiruan itu dan berkumpul di hadapan sebuah rumah sambil minum minuman keras, kelmarin.

“Seorang daripada mereka juga mengaku mempamerkan senjata itu di mana seorang rakan telah merakam aksi tersebut sebelum ditularkan,” katanya dalam kenyataannya di sini.

Menurut beliau, siasatan ke atas ketiga-tiga lelaki itu dijalankan mengikut Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960 kerana memiliki senjata api tiruan tanpa lesen yang sah.

Katanya, jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi setahun atau dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

“Orang ramai dinasihatkan agar tidak sesekali cuba menularkan perbuatan atau aksi yang boleh mengganggu-gugat keselamatan awam dan mendatangkan kegusaran kepada masyarakat,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN