‘Air tak ada, susah saya hendak berniaga’ - Che Romoh

‘Air tak ada, susah nak berniaga’

NURUL Fatihah Ibrahim bersama anak-anaknya menunjukkan bekalan air yang disimpan di rumah mereka di Kampung Paya Panji, Kota Bharu, Kelantan, semalam. - FOTO/YATIMIN ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kecewa bukan ke­palang Che Romoh Che Soh, 49, apabila kawasan kediaman dan kedai makan diusahakannya di Kampung Jaya, Pasir Hor di sini terputus bekalan air sejak hampir seminggu lalu.

Ini kerana ia berlaku ketika kerajaan baru sahaja memberi kelonggaran dalam beberapa sek­tor, termasuk membenarkan pelanggan yang lengkap dua dos vaksin melakukan aktiviti dine -in atau makan di kedai.

Tambah mengecewakan, be­kalan air alternatif seperti tangki statik didakwa tidak disediakan untuk pengguna yang terjejas, memaksa Che Romoh tutup kedai dan bercuti panjang’ sehingga menjejaskan ‘periuk na­sinya’.

Difahamkan, gangguan bekalan air bersih bermula pada Sabtu lalu dan berlarutan ke hari ini (Khamis) turut membabitkan Kampung Paya Keranji, sekali gus menjejaskan kehidupan harian lebih 300 penduduk di situ.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Che Romoh berkata, masalah bekalan air acap kali berlaku, namun kali ini paling lama dan terburuk dalam sejarah sejak dia menetap di kampung itu kira-kira 29 tahun lalu.

“Disebabkan masalah ini, saya terpaksa berulang alik ke rumah sewa anak sejauh 10 kilometer untuk tumpang mandi dan memunggah air bagi kegunaan harian di rumah.

“Kebanyakan penduduk di sini bergantung sepenuhnya kepada bekalan air kerajaan. Jadi, bila berlakunya gangguan maka terjejaslah urusan harian kami, termasuk golongan pengusaha kedai makan,” katanya ketika ditemui.

Kata Che Romoh, pihak berke­naan perlu turun padang melihat sendiri betapa ketiadaan bekalan air bersih menyusahkan penduduk dan peniaga, terutama mereka yang tidak mempunyai sumber air alternatif.

Sementara itu, Nurul Fatihah Ibrahim, 38, dari Kampung Paya Keranji pula berkata, laporan demi laporan telah dibuat, termasuk permohonan supaya kawasan kediamannya dibekalkan tangki statik namun masih tiada tindakan susulan pihak berwajib.

“Jawapan paling kerap saya terima, ‘sedang dalam tindakan’. Sekarang hampir setiap malam saya terpaksa memunggah air dari rumah saudara untuk kegunaan harian selain membeli air mineral untuk minum dan memasak.

“Suami perlu keluar bekerja, mujurlah anak kami yang ber­usia lapan tahun dapat membantu menemani ibunya memunggah air menggunakan troli malam-malam buta,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN