JOHOR BAHRU: Satu sindiket pemberi pinjam wang tanpa lesen atau ah long yang melibatkan jumlah pinjaman kira-kira RM1.5 juta tumpas susulan penahanan tiga suspek di daerah ini, Rabu lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kesemua suspek berusia lingkungan 27 hingga 47 tahun yang ditahan itu didapati menjalankan kegiatan itu di daerah ini sejak hujung tahun 2019.
Katanya, mereka menyasarkan mangsa yang terdiri daripada peniaga khususnya peniaga kecil dengan menawarkan jumlah pinjaman antara RM1,000 hingga RM100,000 dengan kadar faedah bulanan lapan hingga 15 peratus.
“Hasil siasatan mendapati setakat ini seramai 80 peminjam dikesan menjadi peminjam berulang kepada sindiket ini dengan jumlah pinjaman dianggarkan RM1.5 juta,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.
Dalam serbuan tersebut, polis turut merampas tiga kereta mewah, lima unit telefon bimbit dan 13 kad bank dengan nilai rampasan berjumlah RM300,000.
Ayob Khan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 yang boleh dikenakan denda RM250,000 hingga RM1 juta atau penjara atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Dalam pada itu, beliau berkata, dalam serbuan berasingan, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Johor menangkap seorang lelaki warga tempatan kerana terlibat kegiatan khianat di Segamat dan Batu Pahat, Selasa lalu.
Menurutnya, lelaki berusia 41 tahun itu mengambil upah sebanyak RM350 bagi perbuatan menyimbah cat ke setiap rumah peminjam di sekitar dua daerah berkenaan.
“Setakat ini suspek telah melakukan khianat ke atas empat buah rumah di daerah tersebut. Polis turut merampas kenderaan yang digunakan semasa melakukan perbuatan itu dan telefon bimbit yang mengandungi rakaman perbuatan berkenaan,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 29AA Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya sekali.
Tambahnya, suspek juga disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara antara setahun hingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Dalam perkembangan sama, Ayob memberitahu, sejak awal tahun hingga 15 Ogos lalu, JSJK Johor telah membuka 128 kertas siasatan melibatkan kes ah long dan daripada jumlah itu, 59 sudah dituduh di mahkamah.
“Seramai 78 suspek telah ditangkap dan 21 daripadanya merupakan tangkapan bersindiket manakala 57 lagi adakah pemilik ‘mule account’.
“Polis menyeru masyarakat supaya tidak membuat pinjaman dengan ah long. Sebarang maklumat bersabit kegiatan ini, laporkan kepada polis melalui Pegawai Risikan/Operasi JSJK Johor, Asisten Superintenden Timmy Anak Aheng menerusi talian 019-777 3728 atau 013-211 1222 atau 07-225 4074,” jelasnya.