Ada unsur manipulasi dalam ulasan berkaitan Proklamasi Darurat dan Ordinan Darurat 2021 - Utusan Malaysia

Ada unsur manipulasi dalam ulasan berkaitan Proklamasi Darurat dan Ordinan Darurat 2021

WAN ROSDY WAN ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Merujuk beberapa ulasan dibuat dan disiarkan media tempatan berkaitan isu Proklamasi Darurat dan Ordinan Darurat 2021, didapati ulasan berkenaan tidak dalam konteks sebenar, sebaliknya ada unsur atau berbaur manipulasi.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, terkini ulasan oleh Presiden MIC, Tan Sri S.A Vigneswaran yang pada hematnya ia sengaja dimanipulasi sehingga lebih menjurus kepada suatu ‘kenyataan politik’ demi manfaat politik.

“Saya tidak mahu mengulas satu persatu terhadap ulasan beliau (Vigneswaran), tetapi cukuplah dengan maklum balas saya kepada beberapa perkara yang dibangkitkannya.

“Disebutnya tentang Perkara 40 (1) Perlembagaan Persekutuan mengenai fungsi Yang di-Pertuan Agong yang perlu bertindak menurut nasihat Jemaah Menteri.

“Lalu beliau mendakwa betapa dalam keadaan sekarang menerusi beberapa titah telah dikeluarkan, Seri Paduka pula yang bertindak menasihati Jemaah Menteri tentang perkara yang perlu dilakukan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Wan Rosdy berkata, dalam hal tersebut sebenarnya, ‘nasihat’ di bawah Perkara 40 (1) adalah tidak mutlak.

“Perkara 40 (2) ada termaktub bahawa Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak menurut budi bicara Seri Paduka pada melaksanakan beberapa fungsi.

“Antaranya, meminta diadakan mesyuarat Majlis Raja-raja yang semata-mata berkenaan keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran raja-raja, dan apa-apa tindakan pada mesyuarat itu, dan dalam apa-apa hal lain yang disebut dalam Perlembagaan ini.

“Berkenaan Proklamasi Darurat dan Ordinan Darurat 2021 itu sendiri, telah termaktub secara jelas betapa dalam soal untuk membatalkannya, ia hendaklah dibentang dan dibahaskan dalam Parlimen terlebih dahulu.

“Inilah juga yang dititahkan oleh Seri Paduka pada perbincangan secara maya dengan wakil Kerajaan Pusat dan Peguam Negara pada 24 Julai lalu,” katanya.

Beliau berkata, kedua-duanya digubal dan dimaktubkan oleh Kerajaan Pusat maka menjadi tanggungjawabnya jugalah untuk memastikan setiap apa yang termaktub, dilaksanakan termasuk dalam hal mengemukakannya ke Parlimen untuk perbahasan dan kelulusan.

Jelasnya, ini adalah keperluan kerana tanpa ia dikemukakan kepada Parlimen untuk dibahas dan dilulus pembatalannya, apa juga perkara terkandung dalam Ordinan Darurat 2021 khususnya, akan kekal berkuat kuasa untuk selama enam bulan akan datang.

“Mengenai pertikaian Vigneswaran – ‘why is dirty linen being washed in public..’ merujuk kepada Seri Paduka dan Kerajaan Pusat, ia bukanlah persoalan pokok.

“Yang utamanya ialah, rakyat perlu turut diberi kesedaran dan mereka juga berhak mengetahui perkara sebenar tanpa selindung mengenai isu yang diperkatakan sekarang,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.