ALOR SETAR: Seramai 93 individu dijangkiti Covid-19 melibatkan Kluster Telaga 2 yang dikesan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini setakat semalam.
Pengarah Kesihatan Negeri, Dr. Othman Warijo berkata, daripada jumlah itu, 10 individu meninggal dunia sejak kluster itu dikesan sejak 4 Ogos lalu.
Katanya, kluster tersebut dikesan selepas seorang pesakit buah pinggang di Wad Nefrologi HSB, disahkan positif Covid-19 setelah melalui saringan sebelum menjalani satu prosedur kesihatan.
“Berikutan itu, siasatan dan saringan kontak rapat kes telah dilakukan. Hasil saringan mendapati seramai 72 individu didapati positif terdiri daripada 31 pesakit di wad nefrologi, 23 petugas kesihatan, empat pekerja sokongan dan 14 waris pesakit.
“Siasatan dan saringan terhadap kontak selanjutnya turut mengesan 21 kes positif lagi di Kota Setar, Kubang Pasu, Padang Terap, Pendang, Sik dan Yan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Othman menambah, dalam kalangan 32 pesakit yang positif di wad nefrologi itu, terdapat 11 kes berada dalam kategori satu iaitu tidak bergejala dan dua kes dalam kategori dua dengan pesakit hanya mengalami gejala ringan.
“Selain itu, terdapat satu kes dalam kategori tiga, 15 kes dalam kategori empat dan tiga kes dalam kategori lima.
“Dukacita dimaklumkan, terdapat 10 individu telah meninggal dunia manakala 22 kes lagi berada di wad. Siasatan lanjut berkaitan kematian itu sedang dijalankan,” katanya. – UTUSAN ONLINE