PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP)
telah mengeluarkan 859 kompaun bernilai RM4.56 juta terhadap pesalah yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) di bawah Akta 342.
Jumlah kompaun itu berdasarkan pemeriksaan ke atas 746,645 premis di seluruh negara sejak penguatkuasaan terhadap pematuhan Akta 342 dari 13 Mei tahun hingga 26 Ogos lalu.
Timbalan Pengarah Penguat Kuasa (Operasi) Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP, Shamsul Nizam Khalil berkata, daripada 859 kompaun yang dikenakan, 20 daripadanya adalah di bawah Op Samar dengan nilai RM107,000.
Beliau berkata, lebih 2,200 anggota penguat kuasa di seluruh negara digerakkan di bawah Op Samar untuk melakukan penyamaran dengan berpakaian biasa bagi memastikan premis-premis perniagaan di bawah 22 subsektor perdagangan dan pengedaran dalam Fasa 1, 2 dan 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN).
“Dari 22 sehingga 27 Ogos lalu, antara kesalahan tidak mematuhi SOP Pelan Pemulihan Negara (PPN) adalah seperti peniaga gagal pamer had kemasukan pelanggan, premis dan individu gagal mendaftar masuk menggunakan aplikasi MySejahtera.
“Kompaun yang dikeluarkan serta-merta setelah jelas terbukti pelanggaran SOP yang dilakukan adalah sebagai mesej kepada peniaga dan pengguna tentang keseriusan dan komitmen KPDNHEP dalam melaksanakan Op Samar,” katanya menerusi kenyataan akhbar di sini hari ini.
Shamsul Nizam berkata, berdasarkan statistik, pematuhan dalam sektor perdagangan pengedaran berada pada tahap memuaskan di mana 98.74 peratus premis patuh kepada SOP ditetapkan.
Katanya, hanya 0.08 peratus premis yang dikenakan kompaun manakala selebihnya iaitu 1.06 peratus premis diberi nasihat dan amaran.
“Walaupun demikian, KPDNHEP merasakan kelonggaran yang diberikan bukanlah untuk diambil sambil lewa malah tidak mahu ia disalahgunakan seperti melakukan eksperimen sosial dan menghebahkan kepada orang ramai,” katanya.
Beliau berkata, pembukaan sektor perdagangan dan pengedaran merupakan satu usaha bagi tujuan merancakkan serta memulihkan semula ekonomi domestik negara dan bukan suatu kebebasan tanpa kawalan.










