KOTA TINGGI: Dianggarkan seramai 85,000 guru di seluruh negara yang masih belum menerima suntikan vaksin Covid-19 dijangka menerima sekurang-kurangnya dos pertama sebelum sesi persekolahan dibuka September ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) sudah menerima senarai penuh nama-nama guru daripada Kementerian Pendidikan bagi memastikan mereka divaksinasi sebelum sekolah dibuka.
“Selain guru, anggota kumpulan pelaksana dan perkhidmatan sokongan termasuk pengendali kantin sekolah, pemandu bas dan van sekolah serta pengawal keselamatan sekolah juga akan mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 dalam usaha mencapai imuniti di kawasan sekolah.
“Saya sendiri telah meneliti dan membuat permintaan kepada CITF untuk memberi suntikan vaksin kepada golongan ini sebelum September,” katanya selepas meninjau Program Outreach Vaksinasi bersama Institut Jantung Negara (IJN) di Dewan Serbaguna Semanggar di sini hari ini.
Setakat ini, 326,998 orang guru sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos manakala seramai 215,999 orang guru lagi telah lengkap menerima kedua-dua dos vaksin Covid-19.
Sementara itu, Dr. Adham berkata, pemberian vaksin kepada pelajar berusia 12 hingga 17 tahun sedang diteliti melalui data klinikal yang lebih tepat dan terkini daripada Pfizer sebelum membuat keputusan untuk menjalankan vaksinasi terhadap kumpulan itu.
Dalam pada itu, sebanyak 1,500 vaksin telah diberikan kepada masyarakat Orang Asli dari Kampung Kempas Menang, Kampung Pasir Intan dan Kampung Sayung Pinang di daerah itu menerusi program outreach yang bermula Jumaat lalu.










