7,444 terima manfaat Hijrah Selangor - Utusan Malaysia

7,444 terima manfaat Hijrah Selangor

AMIRUDIN SHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seramai 7,444 usahawan telah menerima manfaat pembiayaan menerusi Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah Selangor) melibatkan nilai keseluruhan berjumlah RM81.37 juta.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sepanjang Mac tahun lalu sehingga Julai tahun ini, Hijrah Selangor menyalurkan bantuan berbentuk modal pusingan kepada peniaga di negeri ini.

Amirudin berkata, selain itu moratorium juga turut ditawarkan sebanyak dua kali kepada pihak terlibat dalam tempoh sama bagi membantu meringankan beban ditanggung mereka.

“Pelbagai inisiatif perniagaan ditawarkan dalam beberapa siri pakej rangsangan ekonomi sebagai tanda kerajaan negeri serius dalam menangani Covid-19,” katanya menerusi entri di laman Facebook.

Amirudin berkata, beliau turut menyarankan mana-mana peniaga yang memerlukan bantuan agar berhubung terus dengan pegawai di 20 cawangan Hijrah Selangor atau melayari pautan www.hijrahselangor.com untuk maklumat lanjut.

Pada Jun lalu, Amirudin mengumumkan peruntukan sebanyak RM551.56 juta menerusi Pakej Kita Selangor 2.0 bagi membantu rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Katanya, pakej bantuan itu berteraskan tiga strategi yang meliputi 26 program dan bakal memanfaatkan sekurang-kurangnya 1.6 juta rakyat di negeri ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN