50 pekerja tuntut hak - Utusan Malaysia

50 pekerja tuntut hak

SEBAHAGIAN pekerja sebuah kilang menghasilkan pakaian membuat aduan di Jabatan Tenaga Kerja selepas berdepan masalah berkaitan gaji di Kluang, Johor. -UTUSAN/NUR NABILAH RAHMAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG: Kira-kira 50 pekerja sebuah kilang penghasilan pakaian, di sini memohon campur tangan pihak berkuasa bagi menyelesaikan pelbagai isu berkaitan gaji yang dihadapi mereka sejak Mac lalu.

Penyelaras Pertubuhan Ikatan Sahabat-Sahabat Perjuangan Nusantara Daerah Kluang, Muhamad Suhaid Mustakim Yahya berkata, pihaknya menerima aduan mengenai pekerja yang didakwa tidak mendapat slip gaji, sudah berhenti namun tidak mendapat gaji, gaji dibayar lewat dan bayaran gaji tidak mencapai tahap minimum.

Katanya, sehubungan itu mereka tampil membantu pekerja terlibat untuk membuat aduan kepada pihak berwajib dan sekiranya masih tidak selesai, pihaknya akan memberikan khidmat guaman bagi tindakan selanjutnya.

“Majikan mereka dikatakan telah gagal melunaskan gaji berdasarkan masa yang telah termaktub di dalam kontrak pekerjaan yakni melibatkan tunggakan gaji daripada bulan Mac 2021 sehingga kini yang melibatkan hampir 50 pekerja.

“Majikan dikatakan gagal memberi notis atau dokumen rasmi pernyataan gaji (slip gaji) kepada 35 pekerja dari bulan Januari sehingga kini.

“Seramai tujuh pekerja yang telah meletakkan jawatan juga dikatakan masih tidak dilunaskan gaji mereka seiring dengan tuntutan yang selayaknya dan 37 pekerja lagi tidak mendapat gaji minimum seperti ditetapkan pihak berkuasa,” katanya selepas bersama pekerja itu membuat aduan di Jabatan Tenaga Kerja Kluang, di sini hari ini.

Kata Muhamad Suhaid, sebahagian daripada pengadu terkesan teruk kerana kesempitan wang untuk membiayai kehidupan diri dan orang tanggungan terutama dalam situasi pandemik Covid-19.

“Kita akan ikuti perkembangan ini dari masa ke masa dengan pihak berkenaan selain khidmat pengurusan aduan ini adalah percuma,” katanya.

Dalam pada itu, salah seorang pengadu yang juga operator pengeluaran, Nor Azihat Sihat, 36, berkata, dia yang sudah enam tahun berkhidmat tertekan dengan keadaan itu namun masih tetap bekerja sambil mengharapkan majikan dapat membayar gaji penuh dan mengikut masa.

“Gaji saya mula tertunggak sejak April lalu dan majikan ada membayar gaji tetapi jumlahnya tidak mencukupi dan lewat. Majikan menangguh-nangguhkan gaji hingga saya pernah menerima RM500 dan RM250 walhal gaji saya berjumlah RM1,300 sebulan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya