SHAH ALAM: Seramai 430 peniaga di Uptown Shah Alam di sini, yang tidak dibenarkan berniaga sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 awal Jun lalu merayu bantuan kewangan daripada Kerajaan Negeri Selangor dan Kerajaan Pusat supaya dapat meneruskan perniagaan mereka di situ.
Pengerusi Persatuan Peniaga-Peniaga Uptown Shah Alam, Hassan Nuruddin berkata, mewakili kesemua peniaga, pihaknya berharap kerajaan negeri dapat mempermudah pengagihan bantuan one off RM500 bagi peniaga terkesan akibat PKP sebagaimana diumumkan kerajaan negeri.
“Pada saat ini kesemua peniaga begitu terkesan hingga ada yang terpaksa bekerja di dalam bidang lain demi kelangsungan hidup.
“Ada juga yang meninggal disebabkan Covid-19. Kita di sini sangat berharap penyaluran bantuan kewangan tersebut disegerakan sebelum lebih ramai peniaga yang tutup kedai selama-lamanya,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Penyampaian Sumbangan Bakul Prihatin oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan & Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan, Rodziah Ismail. – UTUSAN ONLINE