IPOH: Kira-kira 30 orang Presiden pertubuhan bukan kerajaan (NGO) akan bertanding sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.
Penyelaras Team Bebas Malaysian, Roslan Ali berkata, kesemua mereka akan melepaskan jawatan masing-masing dalam NGO dan bertanding menggunakan satu logo.
Katanya, kebanyakan calon juga telah lama turun padang dan bersedia untuk bertanding sama ada bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen.
“Kita telah kumpulkan (calon) melalui (kumpulan WhatsApp) Team Bebas Malaysian di seluruh negara yang akan bertanding pada PRU-15 ini di mana kita akan berjumpa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam masa terdekat untuk minta satu logo yang akan digunakan semua calon.
“Buat masa ini, terdapat kira-kira 30 orang calon Bebas dari Kedah, Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Pahang di mana di Perak sendiri ada 18 orang. Kebanyakan mereka adalah Presiden NGO,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Roslan yang juga Presiden Persatuan Kemajuan India Malaysia (PKIM) berkata, beliau juga akan bertanding sebagai calon Bebas meskipun pernah ditawarkan atas tiket parti politik sedia ada.
Bagaimanapun beliau tidak boleh mendedahkan akan bertanding kerusi DUN atau Parlimen mana buat masa ini.
“Kami calon Bebas telah bersiap sedia. Kami bertanding dalam PRU-15 kerana melihat hanya kira-kira 30 peratus sahaja wakil rakyat turun padang yang mengambil berat masalah di kawasan mereka sedangkan sebahagian besarnya tidak.
“Politik Malaysia juga kini kucar-kacir, tidak sampai tiga tahun, tiga kali tukar Perdana Menteri. Apa nak jadi? Yang di atas (pucuk pimpinan) bergaduh, sedangkan rakyat ramai yang mati. Jadi, misi kami adalah membantu rakyat yang terkesan dengan keadaan sekarang,” katanya.