PUTRAJAYA: Sebanyak tiga buah perkampungan masyarakat Orang Asli masing-masing di Kelantan dan Pahang bakal dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) pada Sabtu hingga 3 September ini.
Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara, Datuk Rodzi Md. Saad berkata, di Kelantan, PKPD tersebut melibatkan lokaliti komuniti Orang Asli dalam kalangan etnik Temiar di Kampung Blau dan Kampung Batang dalam Pos Blau, Lojing, Jajahan Gua Musang.
Sementara di Pahang pula, perintah berkenaan membabitkan Kampung Orang Asli Sungai Lebak, Bentong yang terkenal dengan tarian sewang suku kaum Semai dan Temiar.
“Selebihnya pula empat lokaliti lagi di Sabah iaitu Kampung Gambaron 1 dan Ladang Ribu Bonus di Telupid serta Perumahan Ladang Cepat Wawasan 7000 dan Meridian Paitan di Beluran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Rodzi memaklumkan, PKPD melibatkan Penjara Bentong di Gugusan Felda Mempaga, Mukim Sabai, Bentong, Pahang dilanjutkan sehingga 3 September.
Kompleks penjara berkeluasan 55 hektar dan berkapasiti 2,200 banduan itu pernah dikenakan PKPD akhir Januari lalu sebelum disambung beberapa kali akibat kluster Tembok Mempaga.
PKPD di Taman Nilam (Zon Biru), Mukim Kuah, Langkawi yang sepatutnya ditamatkan esok juga dilanjutkan selain Kampung Baru Pasir Putih dan Kampung Wallace Bay, Tawau, Sabah.
Bagaimanapun tambah Rodzi, tiga lokaliti lagi di tiga negeri berbeza yang dilaksanakan PKPD sejak 7 Ogos lalu, berakhir esok seperti dijadualkan meliputi Kampung Morak, Jajahan Tumpat, Kelantan; Felda Sungai Koyan 1 dan 2, Lipis, Pahang serta Perumahan Kilang Sawit Veetar, Tongod, Sabah.










