Saham IJM mampu capai RM2.73 dalam tempoh terdekat - Utusan Malaysia

Saham IJM mampu capai RM2.73 dalam tempoh terdekat

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Salam IJM Corporation Bhd. dalam pemulihan dengan prospek kenaikan harga saham dalam tempoh terdekat sehingga RM2.73 sesaham, disokong pembentukan asas teknikal serta penilaian yang lebih menarik.

Hong Leong Investment Bank Berhad berkata, saham kumpulan pembinaan itu sebelum ini menyusut 27.6 peratus daripada paras tertinggi tahun ini RM2.97 pada 13 Januari kepada RM2.15 pada 31 Mac.

Katanya, penyusutan tersebut susulan sentimen berhati-hati pelabur akibat ketegangan di Asia Barat serta pembatalan tawaran pengambilalihan sukarela bersyarat (VTO) oleh Sunway Bhd.

“Saham ini kemudiannya pulih 7.9 peratus kepada RM2.32, mencerminkan pembentukan asas awal, disokong oleh corak ‘double bottom’ serta sokongan kukuh di atas garisan aliran menaik jangka panjang.

“Penembusan melepasi paras rintangan RM2.46 hingga RM2.53 akan menjadi pemangkin utama untuk mengesahkan pembalikan aliran menaik, sekali gus membuka ruang kepada kenaikan seterusnya ke RM2.62, RM2.73 dan RM2.82,” katanya dalam nota penyelidikan.

Bank pelaburan berkata, paras sokongan utama dilihat pada RM2.23, diikuti RM2.15 dan RM2.00, manakala henti rugi dicadangkan pada RM2.13.

Dari sudut asas, Hong Leong Investment Bank berkata, IJM kini diniagakan pada penilaian lebih rendah iaitu 14.3 kali nisbah harga kepada pendapatan (P/E) bagi tahun kewangan 2027, berbanding purata sektor pembinaan di Bursa Malaysia sekitar 20 kali serta purata lima tahunnya sebanyak 23 kali.

Tambahnya, prestasi pendapatan kumpulan itu dijangka disokong oleh buku pesanan kukuh bernilai RM9 bilion, selain potensi pemangkin daripada usaha mempercepatkan inisiatif membuka nilai.

“Kami berpendapat cubaan pengambilalihan oleh Sunway telah mewujudkan tekanan kepada pengurusan IJM untuk mempercepatkan inisiatif membuka nilai.

“Penyenaraian berasingan unit pembinaan memerlukan prestasi margin yang kukuh, peningkatan pendedahan kepada pusat data (DC) serta prospek penambahan kontrak baharu yang mampan.

“Dengan jualan hartanah dijangka kekal perlahan, fokus kepada menjana pendapatan tanah terbiar serta projek dengan tempoh pulangan lebih pantas menjadi kunci dalam meningkatkan profil pulangan ke atas ekuiti (ROE). Selain itu, langkah keluar dari pasaran India juga dijangka diterima baik oleh pelabur,” ujarnya.

Sehubungan itu, bank pelaburan mengekalkan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) berasaskan jumlah bahagian (SOP) sebanyak RM3.20.

Menurutnya, antara risiko utama termasuk aliran kontrak baharu yang lemah, tekanan kos serta prestasi jualan hartanah yang kekal perlahan. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×