PUTRAJAYA: Malaysia terus mencatatkan peningkatan kes positif Covid-19 hampir mencecah 20,000 kes iaitu 19,819 kes yang menjadikan kes tertinggi sejak pandemik melanda negara sekali gus mengatasi kes sembuh iaitu 12,704 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 257 kematian dicatatkan dengan 1,069 kes di unit rawatan rapi (ICU) selain 553 kes memerlukan bantuan pernafasan dan 210,522 kes aktif.
Katanya, Selangor terus menjadi penyumbang terbesar apabila merekodkan sebanyak 8,377 kes dan Kuala Lumpur (2,467), Kedah (1,371), Johor (1,162) dan Kelantan (1,003).
“Lapan negeri mencatatkan kes tiga angka iaitu Sabah (949), Pulau Pinang (867), Negeri Sembilan (800), Perak (662), Pahang (558), Sarawak (552), Melaka (508) dan Terengganu (481).
“Putrajaya pula terus mencatat kes dua angka iaitu 46 kes manakala Perlis (11) dan Labuan (5),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.










