GEORGETOWN: Seramai 25 lelaki di daerah Timur Laut di sini menjadi mangsa sindiket pemerasan menggunakan taktik panggilan video lucah dan langganan perkhidmatan seks melalui platform media sosial sejak 1 Januari hingga semalam.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, kesemua mangsa berusia antara 17 hingga 50 tahun membabitkan keseluruhan kerugian sebanyak RM150,000.
Menurutnya, mereka terlibat dengan sindiket itu yang menawarkan langganan seks dan membuat video lucah selepas berkenalan menerusi medium media sosial seperti Facebook, Wechat, Michat, Line, Tinder dan banyak lagi.
Jelas beliau, bagi kes-kes melibatkan langganan seks, suspek akan meminta mangsa membuat bayaran tertentu sebagai wang deposit dan akan meminta bayaran tambahan.
“Jika mangsa menolak, mereka akan mengugut dengan cara menghantar gambar atau video tentang orang yang dicederakan yang kononnya mereka akan melakukan perkara sama kepada mangsa.
“Selain itu, suspek juga akan memuat turun gambar mangsa yang terdapat di media sosial dan mengugut menyebarkan gambar-gambar tersebut dengan meletakkan kapsyen jelik serta boleh menjatuhkan maruah mangsa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu katanya, bagi kes panggilan video lucah, suspek akan membuat panggilan video menggunakan wanita yang akan beraksi lucah serta meminta mangsa berbogel.
Tambahnya, panggilan video itu akan dirakam dan suspek akan mengugut mangsa membuat sejumlah bayaran sekiranya tidak mahu video tersebut disebarkan kepada kenalan mangsa atau ditularkan di dalam media sosial.
“Suspek akan terus cuba menghubungi mangsa menggunakan nombor telefon tempatan atau luar negara serta akan menggunakan lebih dari satu nombor telefon bagi mengugut dan menakutkan mangsa,” jelasnya.
Dalam pada itu katanya, terdapat beberapa cara pembayaran yang digunakan oleh suspek antaranya melalui pembelian Razer Gold, pemindahan wang dalam talian dan PayPal.
Jelasnya, kesemua kes disiasat di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan (pemerasan);Seksyen 385 Kanun Keseksaan (mendatangkan ketakutan bencana bagi tujuan melakukan pemerasan) dan Seksyen 233 Akta Kesalahan Multimedia dan Komunikasi 1998 (penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian).
“Polis menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dalam menggunakan aplikasi dalam talian dan jangan sesekali terpedaya dengan tawaran perkhidmatan seks serta langganan urut dalam talian.
“Orang ramai juga dinasihatkan tidak berkelakuan lucah semasa membuat panggilan video dengan mana-mana individu yang baru dikenali bagi mengelakkan dari menjadi mangsa sindiket ini,” tambahnya. – UTUSAN ONLINE