PORT DICKSON: Bagi menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan 2021, Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) memasang kira-kira 2,000 Jalur Gemilang di seluruh daerah ini.
Pemasangan bendera Malaysia itu bermula hari ini sehingga 31 Ogos hadapan dari kawasan Lukut sehingga ke Linggi.
Penolong Pengarah Jabatan Perbandaran Kesihatan dan Persekitaran, MPPD, Khairil Rizal Mahtar berkata, pihaknya telahpun memasang kira-kira 700 bendera di beberapa kawasan dan berharap langkah serupa diambil oleh premis perniagaan dan jabatan-jabatan kerajaan yang lain.
“Program pemasangan bendera ini sepatutnya kami mulakan pada hujung bulan lalu namun terpaksa ditangguhkan ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Apa yang dilakukan MPPD ini adalah permulaan dan kami berharap pihak-pihak lain dapat mengikutinya. Kami turut memaklumkan kepada semua premis perniagaan untuk memasang bendera di premis masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di lokasi pemasangan Jalur Gemilang di Terminal Bas Port Dickson, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Khairil Rizal berkata, walaupun Port Dickson kini suram ekoran ketiadaan pelancong, ia bukanlah penyebab sambutan Bulan Kebangsaan diraikan dengan kesuraman.
“Kibaran Jalur Gemilang sepanjang sambutan Bulan Kebangsaan 2021 diharap dapat menceria dan memeriahkan Port Dickson,” katanya. – UTUSAN