19 PATI nyaris lemas, tongkang rempuh bot APMM

Tongkang rempuh bot APMM, 19 PATI nyaris lemas

ANTARA PATI yang ditahan dan nyaris lemas kira-kira 2.5 batu nautika barat Sungai Serdang Besar, Kapar, Klang, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Seramai 19 pendatang asing tanpa izin (PATI) nyaris lemas apabila tongkang dinaiki mereka nekad merempuh bot pihak berkuasa kira-kira 2.5 batu nautika barat Sungai Serdang Besar, Kapar di sini, semalam.

Dalam kejadian pukul 1 pagi itu, semua warga asing berusia 20 hingga 45 tahun sedang menyusup keluar dari perairan negara menuju ke Indonesia dengan tongkang kayu tersebut.

Pengarah Maritim Selangor, Kepten Mohd. Rosli Kassim berkata, Bot Penggalang 41 Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengesan tongkang yang bergerak tanpa sebarang lampu itu ketika rondaan bersepadu Op Benteng Laut dan Op Ehsan.

Menurutnya, tekong tongkang itu bagaimanapun bertindak agresif dan merempuh bot tersebut bagi meloloskan diri.

“Rempuhan kemudian mengakibatkan tongkang berkenaan karam dan semua 19 penumpang termasuk tekong jatuh ke laut sehingga nyaris lemas.

“Mereka bagaimanapun berjaya diselamatkan anggota Penggalang 41 dengan bantuan aset Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ujar Mohd. Rosli, kejadian itu mengakibatkan kerosakan di bahagian sisi bot namun semua anggota APMM tidak mengalami sebarang kecederaan.

Jelas beliau, pemeriksaan lanjut mendapati semua mangsa termasuk tekong melibatkan 16 lelaki dan dua wanita Indonesia selain seorang lelaki warga Pakistan.

“Seramai 12 daripada mereka gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah. 

“Manakala, tujuh PATI lain mempunyai pasport tanpa cop keluar atau masuk secara rasmi,” katanya.

Mohd. Rosli berkata, kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang Dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.  

“Semua yang ditahan dibawa ke Jeti PPM untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat APMM bagi tindakan lanjut,” ujarnya.

Tambah beliau, pihaknya akan terus meningkatkan operasi penguatkuasaan bagi membenteras dan menyekat aktiviti jenayah rentas sempadan di perairan negara. 

Orang ramai diminta menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah dan kecemasan di laut menerusi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-31760627 dan MERS 999 yang beroperasi selama 24 jam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN