1,605 PPV pengamal perubatan swasta aktif bawah PICK - Utusan Malaysia

1,605 PPV pengamal perubatan swasta aktif bawah PICK

NOOR Hisham Abdullah melawat PPVGP di Cyberjaya, Sepang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sebanyak 1,605 Pusat Pemberian Vaksin Pengamal Perubatan Swasta (PPVGP) aktif di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) setakat 8 Ogos lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kumulatif pemberian vaksin dikendalikan PPVGP itu setakat ini adalah sebanyak 762,419 dos.

“Kementerian Kesihatan amat menghargai bantuan pengamal perubatan swasta di dalam Fasa 2 dan 3 PICK di seluruh negara,” katanya dalam Facebook beliau hari ini.

Terdahulu, beliau berkesempatan melawat dua buah PPVGP di Cyberjaya, Sepang yang masing-masing memberikan sebanyak 90 hingga 150 dos vaksin seminggu.

Menurut Noor Hisham, skop perkhidmatan yang diberikan melalui PPVGP termasuk prapenilaian penerima vaksin, kaunseling dan pengambilan persetujuan penerimaan vaksin, mengendalikan vaksinasi dan pemantauan selepas vaksinasi.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan mengalu-alukan penglibatan GP menerusi PICK dalam membantu negara mencapai perlindungan kepada semua rakyat Malaysia dengan memvaksin seramai penduduk yang layak.

“Pendaftaran GP sebagai PPVGP berlangsung sepanjang pelaksanaan PICK,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN