PORT DICKSON: Seramai 16 individu ditahan dan dikenakan kompaun selepas didapati melakukan aktiviti judi dalam bangunan dalam serbuan sepasukan anggota polis dari cawangan Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson semalam.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, bertindak atas maklumat, kira-kira pukul 9 malam semalam, anggotanya telah membuat serbuan di sebuah rumah kampung di Kuala Lukut dekat sini.
Jelas beliau, pasukan serbuan telah masuk ke dalam rumah yang tidak berkunci dan melihat sekumpulan lelaki dan perempuan sedang duduk mengelilingi sebuah meja di bahagian dapur rumah disyaki telah bermain judi.
“Hasil pemeriksaan lanjut, pihak polis berjaya merampas satu plastik kanvas tertera gambar duit syiling, ayam, ketam, labu, udang dan ikan, satu piring kecil, satu mangkuk kecil, dua biji buah dadu dan sejumlah wang tunai sebanyak RM11,376.
“Kesemua 16 orang suspek iaitu terdiri daripada 10 orang lelaki Cina dan enam orang wanita turut dikenakan tindakan kompaun di bawah Peraturan Pencegahan Kawalan Penyakit Berjangkit (Ordinan Darurat 2021) kerana tiada penjarakan fizikal dan menganjurkan perjudian. Kesemua tangkapan dan rampasan telah dibawa ke IPD Port Dickson untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Aidi Sham, kesemua tangkapan berusia dalam lingkungan 16 sehingga 74 tahun dan hasil soal siasat mendapati mereka mengaku bermain judi jenis ‘Holokoi’.
“Semakan rekod mendapati tiga orang mempunyai rekod jenayah lampau dan dadah manakala yang lain tidak sebarang rekod jenayah lampau.
“Suspek kini ditahan di lokap Balai Polis Port Dickson untuk siasatan lanjut. Kes disiasat di bawah Seksyen 6 (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 kerana disyaki bermain judi di dalam bangunan.
“Jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali,” katanya. – UTUSAN