144kg durian Thailand dirampas di ICQS Durian Burung - Utusan Malaysia

144kg durian Thailand dirampas di ICQS Durian Burung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG TERAP: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) menggagalkan cubaan membawa masuk 144 kilogram (kg) buah durian dari Thailand di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Durian Burung di sini, Isnin lalu.

Maqis dalam satu kenyataan hari ini berkata, hasil pemeriksaan rutin yang dilakukan ke atas sebuah lori oleh pegawai Maqis mendapati buah durian berharga RM500 yang cuba dibawa masuk itu tidak mematuhi syarat import.

“Pemeriksaan mendapati buah durian dibawa masuk tidak mematuhi syarat import 3P (Perlabelan, Penggredan dan Pembungkusan) seperti ditetapkan dalam syarat permit import Maqis,” katanya.

Menurut kenyataan itu, kesemua barang dagangan tersebut dirampas untuk tindakan selanjutnya.

“Kegagalan mengemukakan maklumat tersebut adalah menjadi suatu kesalahan di bawah Seksyen 15(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).

“Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau keduanya sekali di bawah Seksyen 15(2) Akta yang sama,” katanya.

Tambahnya, tindakan penguatkuasaan undang-undang akan terus diperkasa di semua pintu masuk negara bagi memastikan keluaran pertanian yang masuk ke dalam negara mematuhi peraturan yang telah ditetapkan selain menjamin aspek biosekuriti negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.