JOHOR BAHRU: Polis Johor menahan 14 individu dan mengeluarkan 305 saman melibatkan pelbagai kesalahan dalam Op Mabuk dan Op Samseng Jalanan yang dijalankan awal pagi tadi.
Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kontinjen Johor, Superintenden M. Kumarasan berkata, kesemua individu berusia 16 hingga 52 tahun itu ditahan dalam operasi yang dijalankan serentak di seluruh negeri.
Beliau berkata, kedua-dua operasi itu merupakan fokus utama JSPT Johor bagi mengambil tindakan tegas terhadap ‘kaki mabuk’ dan ‘kaki rempit’ yang masih tidak serik dan terus tegar melanggar peraturan dan undang-undang.
Katanya, hasil operasi yang dijalankan melalui sekatan jalan raya (SJR) di lokasi terancang berjaya menahan lima individu berusia 30 hingga 52 tahun atas kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol melebihi had yang dibenarkan di bawah Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Bagi Op Samseng Jalanan, hasil maklumat dan risikan telah berjaya menahan sembilan individu yang berusia antara 16 hingga 20 tahun yang leka melakukan aksi-aksi bahaya dan lagak ngeri di jalan raya.
“Tindakan itu diambil kerana aksi mereka boleh mendatangkan bahaya kepada diri sendiri dan orang awam seperti mana di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kumarasan berkata, dalam operasi sama juga, sebanyak 28 individu dikenakan tindakan kompaun di bawah kesalahan Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN).
“Polis mengingatkan supaya semua individu terus patuh pada arahan kerajaan dan prosedur operasi standard (SOP) PPN Fasa 1.
“Jangan cemari sambutan Hari Kebangsaan dengan melakukan aktiviti-aktiviti yang tidak bermoral yang boleh menyumbang kepada peningkatan kes Covid-19,” katanya.
“JSPT Johor akan terus memburu mana-mana individu yang masih berdegil dan tidak gerun dengan hukuman yang dikenakan atas kesalahan ini di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan PPN Fasa 1,” katanya.