12,000 penjaja, peniaga Pulau Pinang bakal terima vaksin menerusi MOVAC - Utusan Malaysia

12,000 penjaja, peniaga Pulau Pinang bakal terima vaksin menerusi MOVAC

JAGDEEP Singh Deo (tiga dari kanan) meninjau Kompleks dan Pasar Teluk Kumbar Height, Teluk Kumbar, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALIK PULAU: Kira-kira 12,000 penjaja dan peniaga di Pulau Pinang bakal menerima vaksin Covid-19 menerusi Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) yang akan bermula pada 30 Ogos hingga 2 September ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo berkata, program itu dianjurkan bersama kerajaan negeri dengan Badan Bertindak Covid-19 Kebangsaan (CITF); Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT); Jabatan Kesihatan negeri (JKNPP), Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).

Katanya, inisiatif itu bertujuan membantu kelancaran program vaksinasi bagi mengurangkan beban tugas pasukan barisan hadapan melalui khidmat sukarelawan.

“Kapasiti bilangan penjaja dan peniaga yang dijangka divaksin antara 250 hingga 300 orang sehari di lima daerah di negeri ini dan 10 buah bas MOVAC akan digunakan.

“Secara keseluruhannya, seramai 10,000 hingga 12,000 penjaja dan peniaga dijangka divaksin di lima daerah untuk tempoh empat hari program ini berlangsung,” katanya dalam sidang akhbar selepas meninjau Kompleks dan Pasar Teluk Kumbar Height, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Datuk Bandar MBPP, Ar Yew Tung Seang.

Menurut Jagdeep, program MOVAC penjaja dan peniaga itu menjadi instrumen mobilisasi dengan menyediakan akses vaksinasi kepada penjaja dan peniaga yang berdaftar di bawah kedua-dua pihak berkuasa tempatan tempatan (PBT) di seluruh negeri ini.

“Penjaja dan peniaga terutama melibatkan makanan perlu segera divaksin untuk keselamatan semua pihak termasuk pelanggan yang datang ke gerai mereka.

“Para penjaja dan peniaga yang berdaftar di bawah PBT itu akan menerima tarikh janji temu dan lokasi untuk vaksinasi melalui aplikasi MySejahtera,” katanya.

Tambahnya, lima kawasan yang bakal menjadi lokasi program MOVAC itu ialah di Dewan Datuk Haji Ahmad Badawi, Butterworth; Kompleks Sukan Jalan Betek, Bukit Mertajam; Stadium Batu Kawan; Stadium Bandaraya, George Town dan Dewan Perda, Teluk Kumbar.

Dalam pada itu beliau berkata, Pasar dan Kompleks Teluk Kumbar Height yang telah siap dibina dapat memberi kemudahan pasar dan kompleks makanan untuk penduduk setempat dan kawasan sekitarnya.

“Terdapat lapan gerai di pasar itu meliputi jualan ikan, sayur, daging, kelapa dan barangan runcit selain terdapat 16 gerai meliputi 14 gerai makanan dan dua gerai minuman disediakan di bahagian kompleks makanan di sini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN