118 individu terlibat judi dalam talian dicekup - Utusan Malaysia

118 individu terlibat judi dalam talian dicekup

AYOB Khan Mydin Pitchay menunjukkan antara gajet yang dirampas dalam Op Dadu Kontinjen Johor yang digunakan untuk judi dalam talian pada sidang akhbar di IPK Johor Bahru di Johor. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Polis menahan seramai 118 individu sepanjang dua minggu pelaksanaan operasi khas Op Dadu Kontinjen Johor yang memberi tumpuan utama kepada sindiket perjudian dalam talian di seluruh negeri ini bermula 15 hingga 31 Julai lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, operasi itu turut menyaksikan tindakan pemotongan bekalan elektrik dilakukan terhadap beberapa premis terlibat.

Jelas beliau, sepanjang tempoh itu, pihaknya telah menyerbu 90 premis di seluruh Johor yang mana majoriti daripadanya merupakan premis rumah kedai.

“Kesemua suspek yang ditahan berusia antara 19 hingga 58 tahun dan melibatkan seramai 99 orang penjaga premis dan 19 orang pemain.

“Menerusi semua serbuan yang dijalankan, polis turut merampas 125 telefon bimbit, satu unit komputer, satu unit tablet dan wang tunai berjumlah RM20,184,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Tambah Ayob Khan, sindiket berkenaan menyasarkan mangsa daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk pelajar sekolah, kakitangan kerajaan dan juga warga emas.

Menurut beliau, sepanjang tempoh operasi, 46 premis telah dikenakan tindakan pemotongan bekalan elektrik oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) manakala empat premis dibatalkan lesen perniagaan mereka.

“Kesemua individu yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” jelasnya.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan sejak 1 Januari hingga 31 Julai lalu, polis Johor telah membuat sebanyak 525 serbuan melibatkan pusat perjudian dalam talian di seluruh negeri ini.

“Sepanjang tempoh itu, seramai 705 individu ditahan melibatkan 549 penjaga premis dan 156 pemain.

“Kejayaan yang direkodkan ini adalah hasil risikan polis serta kerjasama masyarakat awam yang terus menerus memberikan maklumat sekali gus membantu polis menjalankan operasi,” katanya.

Sehubungan itu pihaknya berharap orang ramai akan terus memberi kerjasama dan menyalurkan maklumat dengan menghubungi talian 07-2212999 atau 07-2254677 atau terus ke balai polis terdekat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya