KUALA NERUS: Seramai 115 kakitangan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) di sini, tidak melepaskan peluang meraikan Hari Kebangsaan walaupun dalam kesibukan bertugas.
Ketua PPV berkenaan, Dr. Nik Ahmad Shaifuddin Nik Him berkata, sambutan secara sederhana itu bagi menghargai jasa barisan hadapan yang berjuang memerangi Covid-19.
Katanya, laungan merdeka dan lagu Negaraku turut berkemundang sekali gus memeriahkan lagi suasana PPV itu.
“PPV ini tidak pernah tutup walaupun pada cuti umum, jadi kali ini kita cuba berkongsi semangat jiwa merdeka bersama 115 petugas dan 814 penerima vaksin.
“Ramai yang datang dengan pakaian bertemakan Hari Kebangsaan dan turut menyanyikan lagu Negaraku bersama kami,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Sementara itu, pengurus PPV Unisza, Dr. Ras Azira Ramli berkata, erti kemerdekaan buat petugas barisan hadapan adalah untuk bebas sepenuhnya daripada virus Covid-19.
Katanya, orang ramai perlu terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) termasuk kalangan yang sudah melengkapkan dua dos vaksinasi. – UTUSAN ONLINE