Isu insentif Cheah Liek Hou selesai, MPM tetapkan tarikh bayaran - Utusan Malaysia

Isu insentif Cheah Liek Hou selesai, MPM tetapkan tarikh bayaran

HANNAH Yeoh beramah mesra dengan pemain pasukan bola keranjang kebangsaan bawah 16 tahun di Seremban hari ini.-UTUSAN/NUR SHARIEZA ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Isu kelewatan pembayaran insentif tunai RM60,000 kepada jaguh badminton para negara, Cheah Liek Hou, selesai selepas Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) menetapkan tarikh penyaluran dalam masa terdekat.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, beliau telah menerima penjelasan daripada MPM berhubung perkara itu dan mengesahkan ganjaran berkenaan akan disalurkan.

“Saya difahamkan memang Cheah Liek Hou ada membuat hantaran mengenai insentif Paralimpik yang belum ditunaikan. MPM sudah memberi penjelasan dan bayaran akan dibuat tidak lama lagi kerana tarikh telah ditetapkan.

“Sudah ada tarikh, saya kira isu ini telahpun selesai. Apabila ada perjanjian kepada atlet, ia mesti ditunaikan. Terima kasih kepada MPM kerana segera menyelesaikan masalah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pertemuan Skuad Kebangsaan bagi Persiapan Kejohanan Bola Keranjang Bawah 16 Tahun Asia 2025 di sini, hari ini.

Sebelum ini, Liek Hou meluahkan rasa kecewa apabila insentif berkenaan masih belum diterima meskipun sudah setahun memenangi emas perseorangan lelaki kategori SU5 di Sukan Paralimpik Paris 2024.

Atlet berusia 36 tahun itu mencipta sejarah apabila menjadi pemenang emas pertama acara badminton para di Sukan Paralimpik Tokyo 2020 sebelum mempertahankan kejuaraan tersebut di Paris.

Pada Ogos 2024, Presiden MPM, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin mengumumkan tiga syarikat tampil menaja insentif berkenaan dengan nilai RM60,000 untuk pemenang emas, RM30,000 (perak) dan RM15,000 (gangsa).

Sementara itu, Hannah dalam ucapan berkata, kejohanan bola keranjang yang sedang berlangsung menerima suntikan dana sebanyak RM275,000 menerusi Geran Padanan Sukan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

“Peruntukan itu mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkukuh pembangunan bola keranjang, meningkatkan kualiti pertandingan serta memperluas pendedahan antarabangsa buat atlet negara.

“Selain itu, KBS turut menyalurkan RM204,000 di bawah Dana Sukan Komuniti bagi penganjuran 20 kejohanan bola keranjang di seluruh negara, sekali gus membuktikan kepentingan sukan itu dalam mengeratkan hubungan masyarakat dan melahirkan lebih ramai bakat baharu,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyatakan keyakinan terhadap skuad kebangsaan bawah 16 tahun yang akan beraksi sebagai tuan rumah dalam kejohanan itu.

“Saya berharap mereka akan memberikan aksi terbaik dan berjaya meraih kemenangan,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN