PUTRAJAYA: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sudah mengagihkan Bakul Prihatin Negara kepada 110,174 keluarga setakat semalam.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali berkata, ia sekali gus memberi manfaat kepada kira-kira 388,801 isi rumah di seluruh negara.
Beliau berkata, setakat semalam juga, JKM telah menerima 466,216 permohonan Bakul Prihatin Negara dari seluruh negara.
“Terima kasih kepada syarikat-syarikat korporat yang menyokong usaha kerajaan dalam menyalurkan bantuan kepada rakyat yang memerlukan.
“Semoga usaha murni ini akan memberi dorongan kepada sektor swasta lain untuk turut bersama-sama memberikan bantuan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Pagi tadi, Mohd. Zuki bersama Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dr. Maziah Che Yusoff dan JKM turun padang menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada lima keluarga di sekitar Putrajaya.
Mohd. Zuki berkata, pandemik Covid-19 memberi impak yang sangat besar dalam kehidupan masyarakat Negara ini.
“Saya tahu masih ramai diluar sana yang memerlukan bantuan.
“Alhamdulillah, Program Bakul Prihatin Negara terus giat dilaksanakan walau apa jua keadaan demi membantu rakyat dalam tempoh yang mencabar ini,” katanya. – UTUSAN










