PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) termasuk merentas daerah atau negeri atau aktiviti ziarah menjelang Hari Raya Aidiladha, esok.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, orang ramai diingatkan agar tidak menjalankan aktiviti ziarah atau kunjung-mengunjungi sepanjang musim perayaan.
Katanya, polis akan meningkatkan jumlah pemeriksaan melalui pasukan pematuhan yang digerakkan di seluruh negara dengan memberi fokus di kawasan perumahan dan lokasi tumpuan.
“PDRM komited dalam mengambil tindakan tegas terhadap pelanggaran SOP.
“Tindakan akan diambil di bawah peruntukan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Acryl Sani turut mengingatkan orang ramai untuk mematuhi SOP sektor sosial sempena Aidiladha.
Tambah beliau, pematuhan SOP yang ketat merupakan usaha melandaikan lengkuk jangkitan Covid-19. – UTUSAN ONLINE










