NEW DELHI: Aplikasi WhatsApp memaklumkan sudah menyekat lebih dua juta akaun di India pada mei dan Jun kerana melanggar undang-undang.
Lapor BBC, syarikat itu memaklumkan sebanyak 95 peratus pengguna disekat akaun mereka kerana melanggar had bilagan mesej yang boleh dihantar di India.
Penyerahan dibuat oleh WhatsApp dalam laporan pematuhan bulanan pertama di bawah peraturan teknologi maklumat baharu yang penuh kontroversi di India.
India merupakan pasaran terbesar WhatsApp dengan 400 juta pengguna.
Syarikat itu menjelaskan fokus utamanya adalah menghalang pengguna akaun di India daripada menghantar mesej berbahaya atau tidak dikehendaki secara besar-besaran.
WhatsApp dilaporkan menghalang hampir lapan juta akaun di seluruh dunia pada setiap bulan.
Dua juta akaun di India yang menghantar ‘kadar pesanan tinggi dan tidak normal’ dilarang di India antara 15 Mei hingga 15 Jun.
Perkhidmatan itu mengenal pasti akaun di India dengan nombor telefon +91 (kod negara).
Aplikasi milik Facebook itu sering menjadi tumpuan perbincangan mengenai penyebaran maklumat yang salah dan berita palsu di India.
Berita palsu itu dihantar kepada puluhan ribu pengguna dalam beberapa jam dan mustahil dapat menangkisnya.
Mesej dan video yang tersebar sebelum ini menghasut keganasan di India sehingga menyebabkan kematian.
Selain menjawab keluhan pengguna, WhatsApp menjelaskan ia menggunakan alatnya sendiri untuk mencegah penyalahgunaan dalam platform tersebut.










