Wanita Indonesia mangsa eksploitasi diselamatkan - Utusan Malaysia

Wanita Indonesia mangsa eksploitasi diselamatkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Polis menyelamatkan seorang wanita warga Indonesia yang disyaki menjadi mangsa eksploitasi dengan bekerja selama hampir empat tahun tanpa dibayar gaji dan kerja lebih masa di sini, semalam.

Mangsa berusia 26 tahun dari Medan itu diselamatkan sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah selepas mendapat maklumat awam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Senior Asisten Komisioner S. Suresh Kumar  berkata, dalam serbuan itu, seorang wanita tempatan ditahan bagi membantu siasatan.

“Mangsa dan tangkapan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kata beliau, mangsa disyaki dieksploitasi dengan bekerja selama hampir empat tahun tanpa dibayar gaji dan kerja lebih masa dengan pasport berada dalam simpanan majikan.

“Wanita terbabit diselamatkan mengikut peruntukan di bawah Seksyen 44 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipemerdagangan Migran 2007 untuk diletakkan di rumah perlindungan menerusi perintah perlindungan interim.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipemerdagangan Migran 2007 yang membawa hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 15 tahun dan boleh dikenakan denda,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN