GERIK: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak giat mengesan dua ekor gajah liar dipercayai masih berkeliaran sekitar Felda Bersia, di sini.
Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff berkata, gajah dipercayai seekor jantan dan seekor betina itu sedang dikesan Unit Tindakan Gajah (UTG) Perak selepas menerima aduan penduduk semalam.
Katanya, aduan dibuat selepas Perhilitan berjaya menangkap seekor gajah liar diberi nama Yob Daha yang memusnahkan tanaman penduduk kampung yang sama sebelum ini.
OPERASI memburu dua ekor gajah liar oleh Unit Tindakan Gajah (UTG) Perak. – VIDEO/MOHAMAD HAFIZI MOHD. SAID
“Pagi semalam terima aduan baharu berkenaan dua ekor gajah liar dari penduduk kampung di sini yang berkeliaran memusnahkan tanaman di kebun mereka.
“Pasukan UTG Gerik berjaya menjejak gajah terbabit dan dipercayai sepasang dan kami berharap gajah terbabit masuk kembali ke dalam hutan gerik,” katanya kepada pemberita pada Ops Pindah Yob Daha, di sini hari ini.
Sementara itu mengulas mengenai pemindahan Yob Daha, Yusoff berkata, gajah liar jantan berkenaan berjaya ditangkap pasukan UTG Perak sekitar pukul 10 pagi Isnin lalu selepas memusnahkan tanaman penduduk.
Menurut Yusoff, berdasarkan maklumat yang diterima gajah liar tersebut merosakkan tanaman pisang, kelapa sawit, getah yang ditanam penduduk di kebun mereka.
“Dari maklumat kita terima kerugian akibat kerosakkan yang dilakukan oleh Yob Daha melibatkan kelapa sawit, getah, kelapa dan pisang melibatkan anggaran kerugian bernilai RM2,500.
“Aduan gangguan gangguan mamalia darat terbesar ini mula diterima pejabat Perhilitan Gerik pada 13 Julai lalu,” katanya.
Proses pemindahan Yob Daha mengambil masa hampir tiga jam bernula pukul 3.30 petang membabitkan 15 kakitangan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Pahang bersama lapan orang kakitangan Perhilitan Perak.
Dua ekor denak iaitu Rambai dan Abot turut digunakan untuk memujuk dan menenangkan Yob Daha dalam operasi pemindahan ke Taman Negara untuk memulakan kehidupan baharu di sana dengan lebih selesa.










