GERIK: Para petugas program korban sempena Aidiladha di Kampung Selarong dekat sini mendakwa mendengar bunyi seakan-akan kalimah Allah dari seekor lembu yang sudah disembelih.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Hulu, Datuk Aznel Ibrahim yang menyertai program itu berkata, dia sendiri mendengar bunyi seakan-akan ‘Allah’ dari haiwan berkenaan sebaik sahaja disembelih.
Menurutnya, bagaimanapun dia hanya mendengar bunyi itu sekali sahaja.
LEMBU korban keluarkan bunyi seakan-akan sebut nama Allah di Gerik. – VIDEO/NORLIA RAMLI
—
“Saya terkejut, terkedu apabila mendengar bunyi seakan-akan ada sebutan Allah dari lembu itu yang telah disembelih.
“Bagi saya kejadian ini amat menakjubkan, kami sendiri menyaksikan kejadian ini.
“Bagi saya kejadian ini adalah tanda kebesaran Allah,” katanya kepada Utusan Malaysia di Kampung Bukit Buluh, Pengkalan Hulu dekat sini hari ini.
Mengenai program korban, Aznel berkata, sebanyak 11 ekor lembu disembelih sempena ibadah korban kali ini dan dagingnya diagih-agihkan kepada penduduk kampung.
Katanya, lembu korban juga diberikan kepada Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Pengkalan Hulu, Kem PGA Batalion 18, dan Kem Rejimen Sempadan.
“Daging korban diagih-agihkan kepada penduduk miskin dan yang memerlukan agar mereka juga dapat merasai daging segar dan meraikan Aidiladha walaupun tidak semeriah tahun lalu.
“Kos keseluruhan program korban ini ialah RM50,000 termasuk sumbangan yang diberikan oleh kerajaan negeri,” katanya.
Sementara itu, Imam Masjid Kelian Intan, Zainol Jusuh, 60, berkata, sambutan Aidiladha tahun ini kurang meriah disebabkan wabak Covid-19.
Katanya, masyarakat di sini memahami situasi ini dan akur arahan kerajaan.
“Kami awal-awal lagi sudah mengingatkan penduduk di sini agar tidak menziarahi antara satu sama lain walaupun sesama jiran kerana bimbangkan jangkitan virus yang berbahaya ini,” katanya.